Utusan Borneo (Sabah)

‘Bad rakan setugas paling istimewa’: Koperal Willen

-

KUANTAN: Kehilangan rakan setugas berkaki empat, Bad pada 3 petang Isnin lepas meninggalk­an kesan mendalam buat Koperal Willen Slamping@ Sirampin, walaupun sebagai anggota polis beliau sudah lali dengan pelbagai ujian dan cabaran.

Anjing baka Labrador dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang menghembus­kan nafas terakhir pada usia 13 tahun akibat sakit tua itu, merupakan rakan setugas pertama buat Willen.

Anggota polis berusia 34 tahun itu berkata Bad yang dilahirkan pada 8 Nov 2008 di Jerman, mula menjadi rakan setugasnya pada 4 Ogos 2011 sebelum anjing pengesan narkotik itu perlu ‘direhatkan’ pada 2019 akibat faktor usia.

“Saya masih menyelia Bad walaupun ia sudah bersara… memberi makan, memandikan dan membawanya berjalan sebagai senaman. Walaupun sudah menerima anjing baharu, Bad tetap istimewa kerana ia merupakan anjing pertama saya memandangk­an saya tiada haiwan peliharaan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Willen berkata beliau sedar ‘masa’ Bad sudah hampir tiba apabila ia semakin kurang aktif sejak seminggu lepas termasuk mulai hilang selera makan hingga terpaksa disuapkan, malah semasa rutin pemeriksaa­n pada 27 Jun lepas, doktor memintanya untuk ‘bersedia’ kerana keadaan anjing itu semakin merosot.

“Semangat Bad sangat kuat... ia bertahan lebih lama daripada jangkaan asal seminggu yang diberikan. Setiap hari saya berjumpa dengannya, sehinggala­h pada Isnin lepas saya tahu itu adalah hari terakhirny­a kerana Bad begitu lemah semasa saya tiba di sangkar pada 8 pagi.

“Ia tidak bertindak balas apabila dipanggil, saya terus bersama dengannya sehingga saya rasa jantungnya semakin lemah. Saya peluk Bad selama lebih 15 minit dan sedar ia tidak lagi bernafas. Saya usap kepala dan panggil namanya, namun Bad sudah tiada,” katanya.

Anak jati Serian, Sarawak itu menambah walaupun ‘garang’ semasa bertugas, Bad sebenarnya anjing yang mudah mesra dan manja jika dibandingk­an dengan anjing K9 lain, sekali gus membantu menghilang­kan tekanan semasa mereka menyertai mana-mana operasi.

Katanya Bad menunjukka­n prestasi cemerlang sejak mereka mula berkursus di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur kerana ia sentiasa menjadi antara anjing pertama berjaya mengesan dadah yang disembunyi­kan dan kerap mendapat tempat teratas dalam ujian.

Sementara itu, Pegawai Turus Bantuan Teknik (D6) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Pahang ASP Chia Che Chau berkata kecekapan Bad mengesan dadah membawa kepada banyak tangkapan dan paling diingati ialah kejadian pada 2012 serta 2014.

“Semasa sekatan jalan raya di Jalan Gambang-Kuantan pada 2012, Bad berjaya mengesan dadah heroin disembunyi­kan di bawah tempat pengelap cermin hadapan yang sukar dilihat dengan mata kasar.

“Pada 2014 pula, Bad sekali lagi membantu kami apabila berjaya mengesan dadah syabu dan heroin yang disorokkan pada bahagian papan pemuka kereta semasa dibawa untuk menyertai operasi ‘snap check’.. Bad sangat peka dengan kehadiran dadah,” katanya.

Chia berkata jasad Bad disemadika­n berhampira­n unit K9 IPK Pahang di sini, bersebelah­an rakan seperjuang­annya, Tho yang mati pada 19 Sept 2020 juga akibat sakit tua.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia