Utusan Borneo (Sabah)

Man Utd lengkapkan pembelian Malacia

-

LONDON: Manchester United melengkapk­an pembelian pemain pertahanan kelab Feyenoord, Tyrell Malacia pada Selasa ketika pengurus Erik ten Hag membuat pembelian pertamanya sejak dilantik sebagai pengurus baharu di Old Trafford.

United mendapatka­n Malacia untuk perjanjian dilaporkan bernilai 12.95 juta pound selepas membuat bidaan lewat untuk pemain pertahanan antarabang­sa Belanda, yang sebelum ini hampir menyertai kelab Ligue 1 Perancis, Lyon.

Pemain berusia 22 tahun itu bersetuju dengan kontrak empat tahun dengan pilihan lanjutan satu tahun lagi.

Ia satu perjanjian penting buat Ten Hag, yang dikaitkan dengan beberapa pembelian lain sebelum akhirnya menjadikan Malacia pembelian pertamanya di United.

Ten Hag tiba di United pada bulan Mei selepas menamatkan satu musim berjaya di Ajax, di mana dia mempunyai banyak peluang melihat kualiti Malacia, yang beraksi untuk kelab pesaing, Feyenoord.

Malacia, yang membuat 136 penampilan bersama Feyenoord, berkata: “Ia satu perasaan yang hebat untuk menyertai Manchester United. Ini adalah babak baharu untuk saya, liga baharu dengan rakan-rakan sepasukan baharu dan jurulatih hebat membimbing kami.

“Saya tahu dari bermain menentang pasukannya dalam Eredivise (Liga Belanda), kualiti yang dia ada dan apa yang dia mahu dari pemainnya.

“Ketika saya tahu saya masih muda dan akan terus berkembang, saya boleh berjanji kepada penyokong United bahawa saya akan memberikan segala-galanya dalam padang setiap kali saya menyarung jersi kelab.”

Malacia, yang sering bermain di posisi pertahanan kiri, dijangka menjadi sebahagian dari skuad United yang berlepas ke Thailand dan Australia untuk jelajah pramusim pada Jumaat. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia