Remaja lelaki pamer aksi bahaya di jalan raya ditahan
PENAMPANG: Keseronokan seorang remaja lelaki berumur 18 tahun menunggang motosikal sambil melakukan aksi bahaya di atas jalan raya, tidak bertahan lama selepas berjaya ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata suspek ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Jalan Kota Kinabalu - Putatan di sini.
“Operasi dimulakan sejak jam 11 malam pada 16 Julai dan berakhir pada keesokan hari pada jam 5.00 pagi.
“Semasa operasi dilaksanakan, pasukan polis yang membuat rondaan di sekitar bangunan sebuah pusat beli-belah di Putatan mengesan dua remaja lelaki sedang melakukan aksi ‘stuntman’ iaitu aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di sekitar kawasan tersebut.
“Pasukan polis kemudian bertindak mengekori suspek dan semasa intipan dibuat, kedua-dua suspek tersebut tidak menyedari kehadiran polis dan leka membuat aksi lagak ngeri ketika menunggang motosikal sehingga ke kawasan Kampung Ulu Putatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata salah seorang daripada remaja berkenaan berjaya diberkas di lampu isyarat berdekatan sebuah restoran, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.
“Pihak polis turut menyita motosikal suspek dan mengeluarkan lima saman atas kesalahan mengubah suai ekzos motosikal, halangan lalulintas, menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin pandang belakang dan aksesori motosikal tidak sempurna.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM15,000 dan penjara wajib satu hari sehingga 5 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.
Bercakap lanjut mengenai tangkapan terbabit, Haris berkata lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan panas atau ‘hotspot’ golongan remaja melakukan aksi berbahaya.
“Antara aksi berkenaan termasuk melakukan ‘wheelie’, ‘superman’ dan melanggar lampu isyarat serta pelbagai aksi lain yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Haris berkata sepanjang Ops Samseng Jalanan ini diadakan, pihak polis juga memeriksa 29 buah kenderaan dan mengeluarkan 15 saman disebabkam pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Polis amat mengambil serius terhadap kegiatan samseng jalanan yang semakin berleluasa di daerah ini, tindakan tegas bakal diambil kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan ini.
“Masyarakat terutamanya remaja dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan sebarang aktiviti samseng jalanan, termasuk peranan ibu bapa dalam memantau kegiatan anak-anak supaya tidak terlibat dengan gejala negatif ini,” katanya.