Unit Marin SPSB mampu sokong perniagaan SPSB
KOTA KINABALU:
Unit Marin Sabah Ports Sendirian Berhad (SPSB) akan mampu menyokong perniagaan SPSB melalui penyediaan perkhidmatan sampingan dan nasihat marin.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, usaha itu sekali gus meningkatkan perkhidmatan luar pesisiran dan daratan pelabuhan serta meningkatkan daya upaya kecekapannya.
“Antara skop unit ini ialah menawarkan pelbagai perkhidmatan marin yang merangkumi bantuan hidrografi dan navigasi kawalan lalu lintas marin serta armada marin.
“Hala tuju unit berkenaan juga selaras dengan menaik taraf perkhidmatan pelabuhan dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas selepas melancarkan Unit Marin SPSB di sini, kelmarin.
Beliau berkata, perkhidmatan kapal tunda pelabuhan, tundaan dan tarikan dijangka turut dilancarkan dalam masa terdekat ini.
Katanya, satu pusat setempat telah ditubuhkan di mana berfungsi sebagai sebuah pusat pemprosesan disamping mewujudkan kemudahan serta nilai tambah untuk para pelanggan.
“Hala tuju ini adalah selaras penyediaan perkhidmatan keseluruhan dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada industri serta menawarkan industri marin yang dipertingkatkan dan bersepadu,” katanya.
Bung berkata, projek utama unit marin ini termasuk menstrukturkan pasukan Pengawal Trafik Marin untuk mengendalikan Sistem Pemantauan dan Maklumat Trafik Kapal (VTMIS).
“Unit ini juga berjaya menubuhkan Pangkalan Utama Offshore Pelabuhan Kota Kinabalu yang menyediakan kemudahan asas kepada para pengeluar Minyak dan Gas di Pelabuhan Kota Kinabalu.
“SPSB juga melihat peluang untuk memanfaatkan kedudukan strategik Sandakan, diantara Australia dan NegaraNegara Asia Timur dengan menyediakan perkhidmatan marin sampingan kepada kapalkapal laut yang melalui laluan sibuk ini” katanya.
Menurutnya, unit berkenaan memainkan peranan penting dalam menjayakan kemasukan sulung SPSB ke dalam operasi bunker LNG dengan menyediakan perkhidmatan sokongan marin selepas SPSB dilantik sebagai penyedia perkhidmatan utama bagi operasi bunker LNG pertama di Sabah.
Dalam pada itu Bung berkata, pengembangan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) serta penubuhan unit itu adalah tepat pada masanya untuk menampung jangkaan peningkatan jumlah, peningkatan saiz kapal dan aktiviti ‘transhipment’ sebaik sahaja fasa awal memperluaskan SBCP selesai.
Katanya, salah satu strategi untuk menangani peningkatan kos penghantaran termasuklah mewujudkan SBCP sebagai hub transhipment untuk BIMP – EAGA dan berfungsi sebagai pintu masuk utama untuk perdagangan yang menumpukan pada Intra Asia serta China, Korea, Jepun serta Timur Jauh.
Tambahnya, projek mega SBCP bernilai RM1.03 bilion ringgit dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.