Graduan TAS Institute Oil & Gas berpotensi sertai keperluan industri
KOTA KINABALU: Seramai 90 graduan TAS Institute Oil & Gas menerima Diploma Lanjutan ‘Business And Technology Education Council’ (BTEC).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, graduan pada majlis kali ke-10 institusi itu bakal mengisi sumber berkemahiran yang diperlukan dalam industri minyak dan gas.
“Saya berharap TAS akan terus melahirkan tenaga kerja teknikal yang terlatih dan cekap untuk bekerja dalam industri minyak dan gas seterusnya memberi manfaat kepada pembangunan negeri ini.
“Pada tahun lalu, Sabah mencatatkan satu kejayaan bersejarah dengan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri ini yang dikenali sebagai SMJ Sdn Bhd, hasil daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS.
“Ini bermakna penglibatan yang lebih besar Sabah dalam perniagaan petroleum huluan, serta perniagaan minyak dan gas secara pertengahan dan hiliran bersama PETRONAS meningkatkan penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas serta nilai rantaian nya,” katanya ketika merasmikan majlis Graduasi Kali Ke-10 TAS Institute Oil & Gas di sini Sabtu lepas.
Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah kepada TAS dan SEQU-TAS kerana bukan sahaja berjaya menubuh dan mengendalikan pusat latihan untuk melatih rakyat tempatan Sabah, tetapi pusat latihan bersepadu tersebut juga mampu melengkapkan keperluan modal insan serta latihan dalam industri minyak dan gas.
Hadir sama, Penaung TAS Institute Of Oil & Gas Tun Ahmadshah Abdullah; Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih; Senator Datuk John Ambrose dan Pengerusi TAS Institute Of Oil & Gas dan Sequ-Tas Offshore Safety Sdn Bhd Datuk Ismail Abdullah.