Tindakan berat ceroboh padang, gunakan bom asap
LONDON: Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) mengumumkan tindakan baharu lebih berat ke atas mereka yang menceroboh masuk ke dalam padang dan menggunakan bom asap dan bunga api.
Musim lepas menyaksikan pertambahan jumlah penceroboh padang pada akhir musim dengan penyokong meraikan kejuaraan, kenaikan liga atau terselamat dari penyingkiran.
Beberapa ketegangan berlaku dalam padang, termasuk satu melibatkan pengurus Crystal Palace, Patrick Vieira sementara pemain kelab Sheffield United, Billy Sharp, diserang seorang penyokong selepas perlawanan playoff ketika tewas di Nottingham Forest.
Bom asap dan bunga api, yang sudah lama digunakan semasa perlawanan di Eropah dan juga di tempat lain di seluruh dunia, kebiasaannya jarang berlaku di England tetapi penggunaannya sudah menjadi lebih kerap sejak akhir-akhir ini.
Kedua-dua liga dan Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris berkata bahawa dari awal musim baharu “semua pesalah yang dikenali pasti akan dilaporkan oleh kelab kepada polis dan pendakwaan akan menyebabkan mereka mempunyai rekod jenayah kekal, yang mungkin menjejaskan pekerjaan dan pendidikan mereka dan juga boleh menyebabkan hukuman penjara.”
Kenyataan berbunyi: “Tambahan lagi, sesiapa yang memasuki padang dan mereka dikenali pasti membawa atau menggunakan bunga api atau bom asap, akan sekarang menerima penggantungan automatik memasuki stadium kelab. Penggantungan ini mungkin akan termasuk kepada ibu bapa atau penjaga yang kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti ini.”
FA berkata mereka bekerja dengan polis dan pihak pejabat pendakwaan untuk memastikan pendakwaan “akan menjadi tindakan wajib.”
Liga juga mahu menapis penerbitan video menunjukkan pencerobohan ke dalam padang dan bom asap menerusi kerjasama dengan syarikat media sosial untuk mengeluarkan rakaman itu dengan segera selain meminta kerajaan mengubah peraturan untuk mengawal bekalan bunga api dan bom asap.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FA, Mark Bullingham berkata: “Peningkatan dalam tingkah laku anti sosial yang kita lihat dalam stadium pada akhir musim lepas sememangnya tidak boleh diterima dan meletakkan keselamatan orang lain dalam risiko. Bersama-sama, bola sepak Inggeris telah memperkenalkan langkah baharu dan tindakan lebih keras, untuk musim baharu bagi menyampai pesanan jelas bahawa kami tidak akan bertolak-ansur dengan tingkah laku berbahaya dan tidak sah seperti ini.”
Langkah itu disokong oleh Persatuan Penyokong Bola Sepak (FSA).
“Kami dihubungi oleh penyokong hampir setiap masa yang dikesan melompat pagar atau membakar bunga api di tempat duduk dan tanpa pengecualian mereka kesal dengan apa yang mereka lakukan,” kata presiden FSA, Kevin Miles.
“Sama ada mereka mempunyai niat positif atau tidak mempunyai kaitan di mata undang-undang — pencerobohan padang dan membakar bunga api adalah haram, anda akan didakwa dan digantung oleh kelab anda.”