Ronaldo masih dalam perancangan kelab menjelang musim baharu
MANCHESTER: Manchester United menegaskan bahawa Cristiano Ronaldo masih dalam perancangan kelab menjelang musim baharu ketika laporan pada Isnin mendakwa kepulangan Ronaldo ke Manchester adalah pasti.
Rundingan dengan Ronaldo dijangka akan berlaku dalam beberapa hari lagi dengan pengurus baharu United, Erik ten Hag juga sudah kembali ke Manchester selepas 17 hari kunjungan pramusim ke Thailand dan Australia.
Bintang bola sepak Portugal berusia 37 tahun itu tidak hadir dalam kempen pramusim United setakat ini atas “alasan keluarga”.
Tetapi United dan Ten Hag, tidak berubah kedudukan bahawa mereka menjangkakan Ronaldo akan menghormati tahun kedua kontrak yang ditandatangani ketika kembali semula ke kelab pada musim panas tahun lepas.
Pendirian United juga tidak berubah dan mereka akan bersikap “tegas” ketika berunding dengan pemain.
Ronaldo mengumumkan bahawa dia mahu meneruskan kariernya bersama kelab yang beraksi dalam Liga Juara-Juara pada musim ini. Beberapa kelab pesaing United, diketuai Chelsea dan Bayern Munich, mula menjauhkan diri dari kemungkinan membeli Ronaldo walaupun Atletico Madrid muncul menjadi destinasi kemungkinan Ronaldo dalam beberapa hari yang lalu.
Ronaldo juga dikatakan bersedia menerima potongan gaji untuk meninggalkan United namun kelab Old Trafford itu tetap dengan pendirian mereka dari awal musim bahawa mereka tidak akan melayani sebarang tawaran untuk penyerang veteran itu.
Ronaldo dikatakan menjalani sesi latihan secara peribadi di Portugal tetapi dengan kelab akan memulakan musim baharu menentang Brighton pada bulan Hadapan, ia kelihatan dia tidak mempunyai kecergasan permainan untuk diturunkan walaupun jika membuat keputusan terus kekal di Old Trafford.