MAAIMUSS intai peluang luaskan amalan perubatan ultrabunyi ke Phuket
PHUKET, (THAILAND): Perubatan Dalaman Akut Tahap Lanjut (MAAIMUSS) mengintai peluang untuk memperluaskan amalan perubatan menggunakan teknologi ultrabunyi ke Phuket, Thailand.
Presidennya, Datuk Seri Dr Paras Doshi berkata wakil kesihatan wilayah Phuket telah menunjukkan minat untuk mendapatkan kepakaran MAAIMUSS dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis bagi melaksana kaedah perubatan itu.
“Mereka teruja dan kagum apabila mendengar berita kejayaan HTF dalam memperkenalkan kaedah perubatan ini yang bukan hanya menjimatkan kos dan masa sebaliknya menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya kepada pemberita pada program perkongsian MAAIMUSS yang merupakan acara sambilan sempena Program Ziarah Mahabbah 2022 malam kelmarin.
Dr Paras berkata HTF merupakan satu-satunya hospital perintis menggunakan kaedah perubatan ultrabunyi pertama di Malaysia sejak 2020.
Terdahulu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penaung Diraja MAAIMUSS berkenan menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Pengarah Hospital Vachira Phuket Dr Lersak Leenanithikul dan Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Phuket Dr Somsuk Sumparnprateep.
Turut berangkat pada program ziarah itu ialah putera baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Mengulas lanjut, Dr Paras yang juga Pakar Perunding Perubatan Dalaman Maju dan Akut HTF berkata perbicangan fasa kedua kerjasama tersebut akan diadakan dalam masa terdekat dan usaha ini mendapat sokongan penuh daripada Raja Muda Perlis sendiri. Beliau berkata dengan menggunakan kaedah perubatan ultrabunyi dalam tempoh bermula Julai 2020 hingga Dis 2021, HTF berjaya melakukan penjimatan kos sebanyak RM5.5 juta.
Dr Paras berkata pegawai perubatan juga dapat menjimatkan masa membuat diagnosis terhadap pesakit dan pesakit tidak perlu masuk ke wad untuk melakukan pemeriksaan kesihatan selain menjimatkan penggunaan katil sebanyak 20 peratus.
“Apa yang penting ialah ia banyak membantu pesakit apabila mereka tidak perlu lagi menunggu masa yang panjang untuk mendapat janji temu pemeriksaan kesihatan dengan doktor pakar,” katanya.
Seramai 35 delegasi daripada ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyertai Program Ziarah Mahabbah 2022 ke Phuket yang berlangsung dari 5 hingga 7 Ogos.