Utusan Borneo (Sabah)

Ziyech sertai skuad kebangsaan Maghribi untuk dua perlawanan persahabat­an

-

RABAT: Harapan Hakim Ziyech bermain bersama Maghribi di Piala Dunia 2022 kembali cerah selepas dia dipanggil semula ke dalam skuad kebangsaan Maghribi untuk dua perlawanan persahabat­an.

Pemain tengah berusia 29 tahun yang beraksi untuk kelab Chelsea, mengumumka­n pada bulan Februari bahawa dia bersara dari bola sepak antarabang­sa selepas perbalahan dengan jurulatih Vahid Halilhodzi­c, yang menuduhnya kekurangan rasa hormat.

Tetapi Halilhodzi­c dipecat bulan lepas kerana “perbezaan pandangan” mengenai persediaan untuk Piala Dunia di Qatar pada bulan November ini dan diganti oleh bekas jurulatih kelab Wydad Casablanca, Walid Regragui.

Langkah itu dilihat membuka jalan untuk Ziyech kembali semula ke skuad kebangsaan dan ia disahkan oleh Regragui pada Isnin apabila mengumumka­n senarai pemain untuk perlawanan persahabat­an menentang Chile dan Paraguay, dua perlawanan persediaan terakhir pasukan menjelang Piala Dunia.

“Saya menjelaska­n kepadanya bahawa kami mahukan pemain terbaik dalam pasukan kebangsaan, dia adalah salah seorang daripada mereka. Dia mahu kembali,” kata Regragui kepada wartawan di Rabat pada Isnin.

“Dia seorang pemain yang menyayangi negaranya, yang sudah dibuktikan dari awal.”

Regragui juga membawa semula pemain tengah berpengala­man, Younes Belhanda dari kelab Adana Demirspor di Turki, yang juga tidak sehaluan dengan Halilhodzi­c.

Regragui lahir di selatan Paris dan bermain di posisi pertahanan untuk kelab Toulouse, Ajaccio, Dijon dan Grenoble selain Racing Santander di Sepanyol. Dia juga beraksi 45 kali bersama Maghribi.

Dia adalah jurulatih FUS Rabat di antara 2014 hingga 2020 dan membimbing seketika kelab Qatar, AlDuhail.

Dia kemudian membimbing Wydad untuk satu musim, membawa kelab menewaskan Al-Ahly dari Mesir untuk memenangi Liga Juara-Juara Afrika dan juga kejuaraan Liga Maghribi.

Dia meletak jawatan sebagai jurulatih Wydad bulan lepas dan sekarang menjadi warga tempatan pertama membimbing Maghribi sejak 2016.

Di Piala Dunia Qatar, Maghribi diundi dalam Kumpulan F, bersama-sama Croatia, Belgium dan Kanada.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia