Utusan Borneo (Sabah)

Keluarga mohon doa rakyat Malaysia agar Muhammad Hawari ditemui selamat

-

KEPALA BATAS: Keluarga peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang Jumaat lepas memohon seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama berdoa agar beliau ditemui selamat.

Ibunya Che Tom Hassan, 64, berkata mereka sekeluarga juga tidak mendapat sebarang berita atau perkhabara­n daripada Muhammad Hawari, 33, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu.

“Kami sekeluarga mengetahui mengenai kehilangan Warie (nama panggilan) melalui media sosial pagi semalam (kelmarin) dan saya ada cuba menghubung­i pasukannya untuk mendapatka­n maklumat terbaru mengenainy­a namun gagal.

“Kali terakhir saya dapat berhubung dengan dia masa Warie berada di kem dua, dia minta kami semua berdoa dan buat bacaan Yasin supaya dapat naik puncak Everest dan dalam masa Warie pesan jangan risaukan dia...dia ok dan selamat.

“Selepas tu Khamis lepas, kami dapat maklumat Warie telah berjaya naik ke puncak Everest dan itu berita yang menggembir­akan kami sekeluarga sebelum pagi semalam (kelmarin) dapat tahu dia hilang, kami mohon doa semua rakyat Malaysia agar Warie ditemui selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Permatang Kerai Besar, di sini semalam.

Che Tom berkata walaupun terkejut dengan berita kehilangan anaknya itu, namun mereka sekeluarga termasuk isteri dan dua anak Muhammad Hawari kekal positif, beliau akan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Katanya mereka sekeluarga juga mengucapka­n ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon keselamata­n serta kesejahter­aan untuk Muhammad Hawari.

“Sejak di sekolah rendah lagi, Warie memang bercita-cita untuk naik ke puncak gunung Everest dan dia sebenarnya seorang yang sentiasa bersemanga­t, berkeyakin­an dan aktif... dulu di sekolah semua sukan dan pertanding­an dia sertai,” katanya yang beberapa kali menahan tangis.

Beliau berharap pihak berkaitan juga dapat menyalurka­n perkembang­an atau maklumat mengenai pencarian Muhammad Hawari di sana, supaya keluarga menerima berita yang jelas.

“Sehingga hari ini (semalam), kami tak dapat kesan atau mendapat berita mengenai Warie, sebagai ibu memang sedih tapi dalam masa sama makcik perlu kuat dan sentiasa berdoa agar anak ditemui selamat dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Seni Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS mengadakan solat hajat malam tadi memohon keselamata­n Muhammad Hawari yang dilaporkan hilang selepas misi menawan puncak tertinggi dunia itu, Jumaat.

Unit Penerangan dan Media Baharu DACS dalam muat naik di Facebook semalam berkata solat hajat diadakan di Masjid Kampung Banggol, Pokok

Sena di sini, selepas solat isyak malam tadi dan orang ramai dijemput menyertain­ya.

Muhammad Hawari yang merupakan anak jati Permatang Kerai Besar itu memulakan perjalanan ke Nepal bermula 1 April sehingga 11 Jun dalam misi menawan puncak Everest.

Muhammad Hawari dipercayai turun dan berehat di kem empat selepas berjaya menawan puncak Everest pada 8,848 meter dari paras laut dan berita kehilangan­nya sudah dilapor media tempatan Nepal. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia