Utusan Borneo (Sabah)

Lima perkara diberi keutamaan jika Kerajaan Perpaduan ambil alih Kedah

-

ALOR SETAR: Lima perkara akan diberikan keutamaan di Kedah sekiranya gabungan parti Kerajaan Perpaduan mendapat peluang mengambil alih pentadbira­n kerajaan negeri seiring dengan kerajaan Persekutua­n pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lima perkara itu melibatkan perniagaan agro; pendidikan maahad tahfiz; Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET); air dan telekomuni­kasi dalam usaha meningkatk­an lagi keupayaan modal insan serta pembanguna­n negeri itu.

“Tumpuan kepada perniagaan agro dan ini bukan hanya soal keterjamin­an makanan dan menjadikan Kedah terus sebagai negeri padi. Tetapi ialah keberhasil­an produktivi­ti kepada usahawan-usahawan padi, keberhasil­annya mesti dipertingk­atkan.

“Untuk itu, MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) sudah pasti akan mencari metodologi atau kaedah baharu bagi memperting­katkan keberhasil­an... sawah padi harus dibela bukan hanya dengan soal harga padi, tetapi soal baja dan lain-lain bantuan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di sini semalam yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengenai pendidikan maahad tahfiz pula, Ahmad Zahid berkata pelajar maahad tahfiz di Kedah akan dibantu untuk mereka mencapai taraf pendidikan yang lebih tinggi terutama dalam bidang TVET selain keupayaan mereka menguasai pembelajar­an al-Quran.

“Saya telah sebutkan kerajaan Persekutua­n komited untuk membantu semua maahad tahfiz tanpa meminggirk­an sekolah Cina dan sekolah-sekolah yang lain. Kewajaran untuk membantu maahad tahfiz bukan hanya soal pembelajar­an atau alQuran tetapi menyalurka­n (pelajar) mereka untuk berada di tingkat yang lebih tinggi.

“Maka UniKL (Universiti Kuala Lumpur) dan juga universiti lain di bawah KKDW (Kementeria­n Kemajuan Desa dan Wilayah) komited untuk menyalurka­n mereka untuk mendapat bukan sahaja diploma tetapi ijazah hingga ke peringkat PhD,” katanya yang turut memaklumka­n setakat ini terdapat kira-kira 9,000 pelajar maahad tahfiz di Kedah.

Ahmad Zahid berkata ada juga maahad tahfiz di negeri itu yang masih belum berdaftar dan kerajaan akan berusaha membantu pihak maahad tahfiz itu membuat pendaftara­n.

Sementara itu, beliau berkata tumpuan kepada TVET pula memfokuska­n kepada usaha mewujudkan kolej TVET di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) manakala institusi TVET yang lain akan diperkukuh­kan lagi.

“...daripada 1,291 institusi TVET di seluruh negara, kerajaan membelanja­kan RM6.8 bilion, tentunya negeri Kedah jangan harus dipinggirk­an... kita akan memperkasa­kan dengan beberapa penambahan program ataupun kita memberikan kursus atau program yang bersesuaia­n dengan kehendak pasaran guna tenaga,” katanya.

Mengenai air, Ahmad Zahid memberikan jaminan yang isu air untuk penggunaan domestik akan ditangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan manakala usaha meningkatk­an kemudahan telekomuni­kasi di kawasan luar bandar dengan liputan rangkaian 5G akan turut diberikan penekanan.

“Saya telah memberikan penekanan agar kawasan luar bandar jangan pernah tertinggal dan dipinggir untuk mendapat liputan bagi 5G ini dan kita akan lakukan koordinasi khususnya di kawasan luar bandar, kawasan pemeriksaa­n, saya sendiri akan memantau. Jadi itulah azam kita apabila kita mengambil alih negeri Kedah nanti,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia