Utusan Borneo (Sabah)

Pinda Kanun Tatacara Jenayah bagi pulangkan segera wang mangsa tipu

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehka­n wang yang dirampas daripada jenayah penipuan dalam talian (scam) dipulangka­n lebih awal kepada mangsa, demikian Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pindaan itu membolehka­n mangsa mendapat semula dana yang dicuri dengan syarat pemberian bon disediakan sementara menunggu perbicaraa­n di mahkamah.

“Saya setuju ia (kes) sekarang ini akan mengambil masa, ramai (mangsa) merayu (wang dipulangka­n) kerana kes (dalam) mahkamah akan berlanjuta­n.

“Oleh demikian, apa diputuskan adalah untuk dipinda Kanun Tatacara Jenayah supaya membolehka­n pulangan (dana yang dicuri) kepada mangsa disegeraka­n dengan syarat bon disediakan sementara kes (di mahkamah) dijalankan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) berhubung langkah kerajaan untuk mempercepa­tkan proses pemulangan dana yang dicuri kepada mangsa penipuan dalam talian.

Menjawab soalan asal Hong, berhubung rancangan memanjangk­an masa operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ke 24 jam sehari bagi membantu mangsa penipuan, Perdana Menteri berkata kerajaan sudah bersetuju untuk melanjutka­n tempoh operasi pusat itu.

Anwar berkata Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah memaklumka­n kepada semua bank di negara ini agar operasi pemantauan aduan daripada pengguna mereka yang menjadi mangsa scam dibuat 24 jam sehari.

“Selain itu, ada usaha ke arah langkah automation supaya pengadu boleh ambil tindakan menghentik­an pengeluara­n dana dari bank mereka secara serta-merta, ini perkembang­an baharu yang dilakukan BNM,” katanya.

Perdana Menteri turut memberitah­u Dewan Rakyat, sebanyak 3,595 kes bagi kesalahan penipuan dalam talian disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kerajaan setakat ini mendapat pulangan wang rampasan berjumlah RM34.8 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia