Utusan Borneo (Sabah)

Serie A Itali: Napoli adakan rundingan dengan Enrique isi jawatan jurulatih baharu

-

ROM: Kelab juara Serie A Itali, Napoli, dikatakan sedang berunding dengan Luis Enrique untuk mengisi jawatan sebagai jurulatih baharu kelab namun presidenny­a, Aurelio De Laurentiis membayangk­an bekas jurulatih kebangsaan Sepanyol dan kelab Barcelona itu lebih suka dengan jawatan dalam Liga Perdana Inggeris.

Napoli mencari pengganti kepada Luciano Spalletti, yang akan melepaskan jawatan selepas membimbing kelab muncul juara Serie A Itali.

Luis Enrique adalah salah seorang calon pilihan namun Napoli menyedari dia juga berada dalam senarai pendek kelab elit lain termasuk Tottenham Hotspur.

De Laurentiis memberitah­u penyiaran Rai: “Dia seorang jurulatih yang hebat, dia melakukan tugas yang sangat bagus di Barcelona. Tetapi saya fikir dia lebih memikirkan tentang (jawatan) dalam Liga Perdana Inggeris. Ia harus dingati bahawa kami bersaing dengan banyak liga yang lebih menarik berbanding kami, seperti di England. Dia mungkin ‘lebih suka dengan sumber (kewangan) di England.”

Luis Enrique ketika ini mengganggu­r sejak meletak jawatan sebagai jurulatih kebangsaan Sepanyol selepas kempen Piala Dunia 2022 mereka berakhir di pusingan kedua apabila tewas kepada Maghribi.

Tugas terakhirny­a di peringkat kelab ialah bersama Barcelona dari 2014 hingga 2017, di mana dia membimbing kelab memenangi dua kejuaraan La Liga Sepanyol, tiga Copa del Rey dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara. Dia juga pernah membimbing AS Roma, Celta Vigo dan skuad B Barcelona.

Tottenham ketika ini masih mencari pengganti kepada Antonio Conte, dengan satu nama pilihan utama mereka, Arne Slot, mengekalka­n komitmenny­a di Feyenoord.

Luis Enrique dan jurulatih kelab Celtic, Ange Postecoglu, difahamkan antara calon pilihan tetapi keutamaan Spurs ketika ini ialah mencari pengarah teknikal kelab. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia