Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki didakwa bunuh teman wanita hamil

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dihukum mati jika sabit kesalahan

-

SUNGAI BESAR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas pertuduhan membunuh seorang wanita hamil minggu lepas.

Tertuduh yang berusia 20 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di Jalan Benteng Laut, Jalan Sungai Limau, di sini pada kira-kira 8.30 malam, 22 Mei, sehingga 8 pagi 23 Mei lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun

Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalik­an Pengarah Pendakwaan Selangor Ku Hayati Ku Haron manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Kashim dan Muhammad Nor Tamrin.

Khairul Anuar memohon agar kes itu dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin namun Majistret Siti Hajar berkata beberapa dokumen perlu diserahkan oleh pihak pendakwaan kepada mahkamah terlebih dahulu.

Siti Hajar menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-T kuning tiba di pekarangan mahkamah diiringi beberapa anggota polis dari Jabatan Penyiasata­n Jenayah (CID) pada 8.55 pagi.

Media sebelum ini melaporkan perselisih­an faham untuk menyembuny­ikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, di sini, 22 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias dilaporkan berkata suspek yang merupakan bekas penuntut kolej membawa mangsa menaiki kereta dan bertengkar dengan wanita itu, sebelum mangsa dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia