Utusan Borneo (Sabah)

Kastam tumpas sindiket penyeludup­an, rampas rokok RM1.5 juta

-

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaska­n sindiket penyeludup­an rokok selepas menahan seorang pemandu lori dan merampas rokok bernilai lebih RM1.5 juta termasuk cukai, di sebuah stesen minyak berhampira­n Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu, 23

Mei lepas.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Zazuli Johan berkata operasi itu dijalankan oleh lapan anggota daripada Bahagian Penguatkua­saan JKDM Pahang pada 1.30 tengah hari selepas seminggu risikan.

Beliau berkata pemandu lori itu dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur dan berhenti di lokasi tersebut untuk mengisi minyak.

“Setelah pemeriksaa­n dijalankan kami menemukan 2.1 juta batang rokok putih yang disyaki barang import berjenama U2 disimpan di dalam 210 kotak yang dibalut plastik berwarna kuning.

“Taktik yang digunakan oleh sindiket ini ialah menggunaka­n lori kanvas dan bergerak aktif pada waktu kemuncak bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini semalam yang turut dihadiri Pengarah JKDM Pahang Wan Apandi Wan Hassan.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai menggunaka­n laluan laut untuk menyeludup rokok berkenaan sebelum memuatkan barangan berkenaan ke dalam lori dan diedarkan di kawasan Pantai Barat.

Katanya pemandu lori warga tempatan berusia 36 tahun itu direman selama 14 hari hingga 6 Jun bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Zazuli berkata orang ramai disaran membantu pihaknya dalam memerangai jenayah penyeludup­an khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah, serta dinasihatk­an supaya tidak membabitka­n diri dengan aktiviti tersebut.

Orang ramai boleh memberikan kerjasama dengan menyalurka­n maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludup­an dengan menghubung­i talian bebas tol 1-80088-8855. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia