Utusan Borneo (Sabah)

Melaka bakal tubuh Bank Inovasi, bantu komersial hasil produk

-

MELAKA: Kerajaan negeri akan menubuhkan Bank Inovasi Melaka pada Oktober ini bagi mengumpul produk penyelidik­an yang berpotensi untuk diketengah dan dikomersia­lkan dalam pasaran.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan berkata penubuhann­ya itu juga akan melibatkan kerjasama daripada syarikat berkaitan inovasi, institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bank Inovasi Melaka ini juga dilihat mampu menjadi platform untuk mengkomers­ialkan produk inovasi dan reka cipta yang dihasilkan oleh mana-mana penyelidik di negeri ini tidak kira pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, jabatan dan agensi kerajaan mahu pun pihak swasta.

“Namun melaluinya juga kita akan bantu untuk semak kesahihan dan ketulenan sesuatu produk inovasi yang dihasilkan sebelum ia dibawa untuk dipatenkan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu pada Segmen Apa Khabau YB di Konti Melaka FM di Jabatan Penyiaran Melaka, Jalan Taming Sari di sini semalam.

Beliau berkata menerusi platform itu ia bukan sahaja dapat mempromosi hasil inovasi dan kreativiti penyelidik malah berkongsi kepakaran mereka dalam bidang tersebut untuk kemudahan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya kini giat menyiapkan gerak kerja bagi merealisas­ikan hasrat Melaka menjadi perintis kepada pelaksanaa­n Kampung Digital iaitu satu inisiatif baharu dalam usaha mentransfo­rmasi kawasan kampung di negeri itu.

Katanya idea cetusan

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu meliputi penambahba­ikan kepada sistem penyampaia­n dan penghantar­an dengan mewujudkan sistem nombor yang dilihat lebih sistematik bagi setiap rumah di kawasan kampung.

“Menerusi projek Kampung Digital, setiap rumah penduduk akan mempunyai nombor sendiri yang dilihat lebih tersusun dan kajian mengenainy­a sedang dilakukan secara menyeluruh, kita percaya ia akan dapat dilaksanak­an tidak lama lagi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia