Utusan Borneo (Sabah)

Demi negara tercinta, anggota 5 Divisyen sambut Aidilfitri di perbatasan

-

KENINGAU: Berjauhan daripada keluarga tersayang ketika Aidilfitri pedih untuk ditempuhi, namun itulah pengorbana­n yang terpaksa dilakukan anggota Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD).

Meskipun menanggung rindu, anggota 26 RAMD bawah pemerintah­an Divisyen Kelima Infantri (5 Divisyen) yang ditemui di Markas Taktikal Keningau di sini lebih mengutamak­an tanggungja­wab menjaga keselamata­n negara di sempadan Malaysia-Indonesia.

“Bersama keluarga di Aidilfitri dan di perbatasan suasana berbeza, dengan pakaian pun berbeza juga. Tetapi kita raikan dan boleh juga menghubung­i keluarga ketika sambutan ini, jadi terubat hati.

“Apapun ini sesuatu yang saya lakukan bagi mendukung tanggungja­wab menjaga keselamata­n negara,” kata Pegawai Pemerintah 26 RAMD Lt Kol Mohd Fuad Md Ghazali.

Anak jati Bagan Datuk, Perak itu berkata selama 30 tahun bertugas, beliau pernah beberapa kali menyambut Aidilfitri di kem tentera, namun ini kali pertama beraya di perbatasan sebagai barisan hadapan.

Pasukan 26 RAMD sedang melaksanak­an Op Balasah sejak tiga bulan lepas di sempadan melibatkan 12 pos kawalan antaranya di Serudong dan Long Pasia dengan pusat operasi di Markas Taktikal Keningau, bagi mengekang anasir buruk termasuk jenayah rentas sempadan.

Kapten (Dr) Nur Alia Syuhada Zakaria yang kali pertama meraikan 1 Syawal di perbatasan berkata persahabat­an erat dijalin bersama anggota pasukan itu dari Kem Kukusan, Tawau, yang majoritiny­a lelaki, menjadikan suasana perayaan meriah dan mesra.

“Wanita, lelaki kita samasama susah senang sebagai satu pasukan. Seronok di sini tetapi sudah tentu ada sedih juga kerana ibu bapa saya jauh di Kelantan.

“Ibu bapa reda dengan tanggungja­wab saya laksanakan di sini dan berpesan supaya jaga diri baik-baik,” katanya berasal dari Kota Bharu dan baru empat tahun bergelar soldadu.

Katanya, ketupat daun palas berinti daging merupakan juadah yang dirinduiny­a kerana amat sukar ditemukan di Sabah.

Pegawai Waran I Ismail Mohamad berkata walaupun di perbatasan, beliau bersama anggotanya tetap menghias markas serta memasak hidangan seperti ketupat, rendang dan lemang.

“Ibu jauh di Kedah, bila telefon beritahu sedih anak jauh di Sabah tetapi faham tanggungja­wab saya di sini, anak isteri saya pun di Tawau (Kem Kukusan) tidak bersama ketika sambutan ini, tetapi anggota 26 RAMD bagaikan adik-beradik, kita sambutnya bersama,” katanya sambil menambah ini pengalaman sulungnya menyambut lebaran di sempadan.

Beliau yang berasal dari Baling dan telah berkhidmat selama 22 tahun, berpesan supaya rakyat menghargai pengorbana­n anggota tentera dengan memelihara keharmonia­n penduduk berbilang latar belakang.

Panglima 5 Divisyen Mej Jen Datuk Malek Razak Sulaiman berkata sambutan Aidilfitri diadakan bagi menaikkan semangat anggota 26 RAMD dan beliau turun padang bagi melihat sendiri persiapan.

Mengharung­i 42 tahun perit getir sebagai askar termasuk bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, beliau amat memahami perasaan anak buahnya.

“Dahulu sambut Aidilfitri di perbatasan lebih mencabar kerana tiada kemudahan komunikasi dengan keluarga seperti sekarang.

“Kad raya menjadi pengubat rindu dan kami semua tunggu bila ada hantar bekalan sampailah kad itu. Lagu raya pun tiada ketika itu kerana radio dulu tidak macam sekarang,” ceritanya mengimbau kenangan.

Namun tegasnya, biarpun zaman beredar, apa yang tidak berubah ialah semangat perajurit negara yang tidak pernah pudar.

“Biarpun sambut Aidilfitri di perbatasan kami sanggup, demi mempertaha­nkan negara yang kami cintai!” katanya sekali gus mencermink­an semangat ‘Nerang Separang’ yang menjadi cogan kata divisyen itu, bermaksud ‘tangkas menggempur’ dalam bahasa Bajau. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? SEMANGAT: Malek (belakang, enam kanan) bersama anggota Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD) bawah pemerintah­an 5 Devisyen di Markas Taktikal Keningau, dekat Sabah, semalam.
— Gambar Bernama SEMANGAT: Malek (belakang, enam kanan) bersama anggota Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD) bawah pemerintah­an 5 Devisyen di Markas Taktikal Keningau, dekat Sabah, semalam.
 ?? — Gambar Bernama ?? GAUL: Malek (kanan) menggaul dodol ketika melawat anggota Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD).
— Gambar Bernama GAUL: Malek (kanan) menggaul dodol ketika melawat anggota Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia