Utusan Borneo (Sabah)

Warga emas hilang sejak Sabtu lepas ditemukan meninggal dunia

-

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas Mohamad Ngah yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas, semalam ditemukan telah meninggal dunia, kata Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor.

Beliau berkata pihaknya menerima aduan penemuan mayat mangsa yang berusia 67 tahun itu, daripada orang awam di sekitar tapak pembinaan di Kampung Banggol Katong, di sini pada pukul 10.25 pagi tadi.

“Sepasukan polis dari Balai Polis Cabang Tiga diarahkan ke lokasi, sebelum bertemu dengan anak mangsa Mohd Nor Hisyam, 31, yang mengesahka­n mayat tersebut milik bapanya.

“Polis percaya mangsa telah meninggal dunia kirakira dua hari lepas. Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna dan hasil pemeriksaa­n pada tubuh si mati mendapati tiada unsur jenayah atau kesan kecederaan luaran lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azli berkata mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, adik mangsa Mohd Azis menerusi sebuah hantaran di media sosial melahirkan rasa syukur, kerana pencarian mereka sekeluarga mengesan abangnya yang lebih dikenali sebagai Din sejak Sabtu lepas, berakhir.

“Alhamdulil­lah, Allah makbulkan doa kami nak bawa Abang Din balik sebelum raya. Jasadnya sempurna. Terima kasih kepada yang membantu, mendoakan dan menyokong sepanjang empat hari Abang Din hilang,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, Bernama melaporkan Muhammad hilang selepas keluar dari rumahnya secara sehelai sepinggang tanpa membawa beg duit, telefon bimbit mahupun memakai topi keledar pada kira-kira pukul 8 pagi Sabtu lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia