Utusan Borneo (Sabah)

Kontraktor didakwa memandu berbahaya, sebabkan kematian dua beradik

-

SUNGAI SIPUT: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabka­n kematian dua beradik, minggu lepas.

Lee Kin Peng, 52, didakwa memandu pacuan empat roda dengan cara berbahaya kepada orang awam, sehingga menyebabka­n kematian kepada Ahmad Zuhal Norazlan, 17.

Lelaki itu juga didakwa atas kesalahan sama, sehingga menyebabka­n kematian kepada Ahmad Marikh Norazlan, 13.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di sini, antara 7.00 hingga 7.15 pagi, pada 5 April 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987 yang memperuntu­kkan penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatka­n suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S. Vitthiyesw­ary mencadangk­an jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain tertuduh perlu lapor diri di balai polis setiap dua minggu, lesen memandu digantung, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak boleh mendekati saksi kes.

Bagaimanap­un, peguam S. Morgan merayu jaminan RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan, dengan alasan anak guamnya berpendapa­tan RM2,000 sebulan selain sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang kesemuanya masih belajar.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan kemudian membenarka­n tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 secara kolektif untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan dengan pasport diserahkan kepada mahkamah, serta tertuduh dilarang mengganggu saksi kes.

Mahkamah menetapkan 11 Jun 2024 untuk sebutan semula kes.

Pada 5 April, media melaporkan dua beradik maut selepas motosikal ditunggang­i mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda, dalam kejadian langgar lari di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia