Kepentingan kewujudan edufluencer dalam kalangan ahli akademik terhadap pendidikan tinggi negara
MINDA PENDIDIK
ISTILAH Edufluencer merujuk gabungan maksud `pendidikan’ dan `influencer’ yang merujuk kepada individu yang menggunakan media sosial dan platform dalam talian untuk berkongsi kandungan, pandangan berbentuk fikiran, dan sumber pendidikan yang sahih.
Tidak dapat dinafikan kepentingan Edufluencer dalam kalangan ahli akademik terhadap landskap persekitaran pendidikan tinggi negara boleh memberi kesan positif untuk memperkenalkan kualiti produk pendidikan yang dimiliki sekaligus menyokong pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam setiap jiwa masyarakat Malaysia.
Antara kepentingan yang sangat signifikan sekaligus memperkukuhkan persepsi yang baik terhadap sistem pendidikan tinggi negara ialah Edufluencer dalam kalangan ahli akademik mampu berperanan memberi sumber pembelajaran yang mudah diakses.
Edufluencer mampu memberi penjelasan tentang akses kepada kandungan pendidikantinggi negara dengan menyediakan sumber pembelajaran percuma atau bersifat mempunyai kos yang rendah dalam talian.
Ini memberi manfaat terhadap para belia yang berada di luar bandar atau bahagian pendalaman yang mempunyai akses terhad untuk pendidikan yang berkualiti.
Melalui platform seperti YouTube, TikTok, Instagram, Twitter dan blog, edufluencer mampu berkongsi tutorial, menjelaskan konsep yang kompleks, dan menyediakan bahan belajar yang boleh diakses secara umum oleh para belia atau pelajar.
Dapat dilihat juga, kepentingan dari segi kaedah pengajaran yang menarik dan inovatif.
Ini kerana, menerusi peralihan daripada pendidikan tradisional yang boleh dikatakan tidak menarik mampu diatasi dengan sokongan para Edufluencer.
Dengan menggunakan kaedah kreatif dan menarik, seseorang Edufluencer akan menjadikan pembelajaran lebih menarik dan relevan sesuai dengan zaman sekarang yang melibatkan elemen-elemen penggunaan multimedia, penceritaan, dan kandungan interaktif yang dapat membantu pelajar memahami dan mengingati maklumat dengan lebih baik menerusi interaksi yang berkesan.
Selain itu, interaksi yang bersifat mesra dan mampu membentuk interaksi seperti rakan sebaya memudahkan lagi proses penerimaan serta perkonsian ilmu antara satu sama lain.
Hubungan peribadi antara Edufluencer dengan audiens atau belia dapat meluaskan percambahan idea dan perkongsian yang dapat menyuburkan sumber ilmu yang diberikan.
Jika dilihat pendidikan secara tradisional, mereka hanya boleh berinteraksi dengan pengikut secara masa nyata, menjawab soalan, dan memberikan nasihat yang disesuaikan.
Justeru, hubungan bersifat mesra dan seperti rakan sebaya ini boleh memotivasikan dan menginspirasi belia atau pelajar untuk menjadikan pengalaman pendidikan lebih releven.
Dengan berlatarbelakangkan kepakaran yang diakui, para Edufluencer ini boleh berperanan sebagai idola terhadap belia atau pelajar untuk menunjukkan bahawa pembelajaran boleh menjadi proses sepanjang hayat dan menyeronokkan dalam dunia pendidikan tinggi negara.
Ini akan menyuburkan sifat cintakan ilmu sehingga akhir hayat sekaligus mewujudkan perkongsian perjalanan pendidikan antara belia dan para Edufluencer melalui cabaran yang dihadapi dan kejayaan, inspirasi serta dorongan untuk kekal dalam persekitaran kendiri positif kepada pengikut mereka.
Ini amat memotivasikan bagi belia yang mungkin merasa terasing atau tidak bersemangat terhadap usaha mereka berkait masa depan mereka seperti peluang kerjaya, keluarga, jaminan, tempat tinggal dan sebagainya.
Kepakaran yang dimiliki oleh para Edufluencer ini mampu merapatkan jurang dalam pendidikan formal melalui menjadi pandu arah atau pakar rujuk terhadap topik pembelajaran yang kurang ditekankan dalam kurikulum Pendidikan Negara.
Selain itu, terdapat pandangan bersifat negatif dan berbentuk hasutan demi mengejar populariti dalam kalangan influencer.
Para influencer yang tidak bertanggungjawab ini kebiasaannya mempunyai jumlah pengikut yang besar yang boleh membentuk pendapat awam.
Tohmahan serta memutarbelitkan fakta sistem Pendidikan Negara untuk mewujudkan gambaran negatif mengenai sistem pendidikan tinggi akan dapat menghakis kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan belia.
Jika perkara ini tidak dibendung, ini akan memberi kesan negatif yang berpenjangan sekaligus membawa kepada kepercayaan umum bahawa sistem pendidikan tinggi negara adalah gagal, tanpa mengira kualiti dan hasil sebenar.
Sering kali kita melihat setiap pandangan yang diberikan hanya bersifat persepsi semata-mata dan berbentuk propaganda.
Dengan adanya para Edufluencer yang menjadi pakar rujuk ini, dapat menyebarluaskan fakta sebenar persekitaran pendidikan tinggi negara dan membina persekitaran kendiri positif dalam kalangan belia yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi.
Ini akan dapat memupuk kerjasama dan sokongan melalui peranan Edufluencer sebagai rakan sebaya agar para belia tidak dipengaruhi influencer-influencer yang bersifat negatif.
Kewujudan jaringan komuniti yang dicipta oleh para Edufluencer ini boleh memberikan rasa kekitaan dan pembelajaran kolektif, yang mana para belia boleh berkongsi dan mendapatkan sumber yang tepat berkenaan peluang dalam meneruskan pendidikan tinggi, belajar bersama, dan sekaligus menyokong tujuan pendidikan tinggi negara yang menjunjung teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Justeru, tidak dapat dinafikan kepentingan Edufluencer yang mempunyai teras kepakaran tertentu dapat membentuk advokasi yang lebih releven dalam mengubah persepsi dunia terhadap sistem Pendidikan Tinggi Negara.
Edufluencer yang bersifat pakar ini, boleh mempengaruhi tren dan amalan pendidikan tinggi dunia dengan penyebaran ilmu yang benar dan terancang.
Dalam sistem Pendidikan Tinggi Negara, ahli-ahli akademik mampu merancang dan membentuk serta mampu mereformasi pendidikan tinggi negara, meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu seperti akses kepada pendidikan, pengajaran, penyelidikan, memperkenalkan kualiti produk pendidikan tinggi negara dan mengangkat kepentingan pelbagai polisi Pendidikan Tinggi Negara yang boleh mengubah kedudukan dan persepsi pendidikan tinggi negara di tempat yang terbaik.
Suara mereka boleh menyumbang kepada perubahan pembentukkan masyarakat yang lebih proaktif.
Ini kerana impak para Edufluencer ini adalah mendalam, menjadikan mereka antara tunjang bahagian penting dalam landskap persekitaran pendidikan tinggi negara.
(Artikel sumbangan Dr. Syahrul Nizam bin Salam, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sabah, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Kampus Antarabangsa Labuan) dan Syafiqah Nadzirah binti Salam (Guru SK Metalun, Sarawak).