Hari Keluarga Aki Ekob disambut meriah, rapatkan ikatan kekeluargaan
KOTA MARUDU: Hari Keluarga Aki Ekob berjaya disambut dengan penuh meriah di Kampung Morion Tandek di sini 16 Jun lalu.
Pengerusi Penganjur Jondily Tuyundo berkata, majlis yang diadakan di pekarangan rumah Jikal Tamingan adalah salah satu usaha bagi merapatkan ikatan kekeluargaan yang semakin kurang diberi perhatian disebabkan kekangan kerja atau kepadatan jadual masing-masing.
“Ini adalah aktiviti yang julung kali dilaksanakan melalui enam saluran anakanak Aki Ekob iaitu saluran pertama Aki NC Udat Ekob bersama anak odu Amunsin dan odu Apak, saluran kedua Aki Puwok Ekob dengan anak aki Tamingan dan aki Masakup, saluran ketiga Aki Masod Ekob bersama tiga anak odu Aguan, aki Awas dan odu Inayog.
“Saluran keempat ialah Odu Randayud Ekob bersama dua anak aki Makandal dan aki Kondilau, saluran kelima ialah Odu Ambah Ekob bersama anak odu Andiyin manakala saluran keenam Odu Eyaga Ekob bersama anak odu Kuli, aki Malayu, odu Randusi, odu Unitis dan odu Rumpanis,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek Datuk Hendrus Anding.
Jondily berkata, usaha semua pihak menjayakan Hari Keluarga Aki Ekob sangat dihargai terutama Jikal yang begitu ikhlas menyediakan tempat dan setiap keperluan asas sepanjang acara ini.
“Saya amat berterima kasih kepada semua AJK pelaksana yang bertungkus-lumus memastikan perjalanan dan urusan tentatif berjalan lancar sepanjang aktiviti ini.
“Diharapkan melalui pertemuan dan suai kenal ini dapat merapatkan lagi ikatan silaturahim sesama Keluarga Aki Ekob dan saya juga mengharapkan agar aktiviti keluarga ini ada kesinambungan di masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Marudu, Juair Masadan yang merasmikan majlis mengucapkan tahniah kepada pengerusi dan semua AJK pelaksana majlis.
“Saya amat berbangga dengan usaha penganjuran Hari Keluarga sakag Aki Ekob kerana acara seperti ini akan memudahkan setiap ahli keluarga yang tidak pernah bersemuka sebelum ini, dapat bersuai kenal.
“Usaha ini juga mampu menambah dan mengeratkan silaturahim kepada setiap saluran keluarga yang sudah mencapai ke generasi ketujuh dan generasi akan datang kelak.
“Marilah kita semua sentiasa menjaga kehormatan kepelbagaian beragama masing-masing yang diamalkan dalam sakag Aki Ekob ini,” katanya.
Juair juga memberi suntikan semangat khas buat generasi muda agar harus lebih peka mengambil peluang ke arah mencapai pendidikan yang lebih tinggi.
Katanya, ini bagi mengangkat keperluan keluarga ke arah yang lebih baik dan keutamaan dalam bidang kemahiran agak relevan pada era negara yang kini mengutamakan teknologi berkemahiran tinggi.
Dalam pada itu, Penasihat Hari Keluarga Sakag Aki Ekob Jukinah Adun memohon kepada semua ketua keluarga setiap saluran anak-anak aki Ekob agar sentiasa memastikan anak-anak dapat memajukan institusi keluarga dari segi ekonomi dan pendidikan secara keseluruhannya.
“Ibu bapa hendaklah mengambil perhatian khusus kepada anak-anak, cucucicit dengan menghayati dan memelihara slogan Aki Ekob dalam bahasa etnik dusun kimaragang ‘Sakag Miiso, Gumirot, Mitoluod Awasi Koompuson’ yang bermaksud keluarga bersatu, berpegang kuat, berkasih sayang membawa kebaikan berterusan,” katanya.*
KOTA KINABALU: Lebih 100 orang awam dari Kampung Darau menyertai acara gotong-royong mega peringkat daerah Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Gotong-royong itu dirasmikan oleh Pegawai Parlimen P171 Sepanggar, Ahsim Jamat yang mewaklili Ahli Parlimen P171 Sepanggar, Datuk Ts.Mustapha Sakmut.
Dalam ucapan perasmiannya, Ahsim menyeru masyarakat setempat agar lebih prihatin terhadap pembiakan nyamuk aedes dengan meluangkan sedikit masa mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk itu.
“Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab semua penduduk dan penghuni taman perumahan.
“Kita semua sudah maklum bahawa pada ketika ini telah tiba musim hujan dan banyak bekas boleh menakung air yang memudahkan pembiakan aedes,” katanya.
Pihak penganjur, Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu juga telah memberikan semangat tinggi kepada peserta dengan memberikan penghargaan kepada mereka yang dapat mengumpul sampah dan kitar semula pada aktiviti gotong-royong berkenaan.
Satu aktiviti melukis dan mewarna dalam kalangan kanak-kanak di daerah Kota Kinabalu turut diadakan.