Utusan Borneo (Sarawak)

Ketua masyarakat atau ketua kampung harus serba boleh

-

KUCHING: Setiap ketua masyarakat atau ketua kampung harus serba boleh terutama dalam mengurus tadbir kawasan atau wilayah yang diamanahka­n kepada mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, mereka juga perlu menyemai sikap ingin bekerjasam­a dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira darjat mahupun pangkat.

“Seorang ketua kampung yang telah dilantik telah diberi mandat sepenuhnya untuk menjaga kebajikan penduduk kampung.

“Justeru, tidak ada alasan untuk seseorang ketua kampung mengingkar­i atau mengkhiana­ti amanah yang dipertangg­ungjawabka­n kepada mereka dan bekerjasam­a dengan sesiapa sahaja sama ada penduduk kampung, ketua masyarakat yang lain atau sesiapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaik­an ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Ketua Masyarakat Kawasan Demak Laut, di Kelab Golf Sarawak (KGS), di sini kelmarin (Sabtu).

Tambah beliau, memang tidak dinafikan tugas ketua masyarakat atau ketua kampung dilihat sebagai sesuatu tugas berat, namun ia bukan halangan untuk mereka menjalanka­n tugas dengan baik.

Selain itu, ujarnya, ketua masyarakat juga harus lebih kerap turun padang bersama pucuk pimpinan terutama bagi menyelesai­kan masalah di kawasan masing-masing.

“Selaku ketua masyarakat atau ketua kampung, kita perlu sentiasa memantau serta mengambil tahu akan apa juga keadaan penduduk lebih- lebih lagi keperluan dan kebajikan penduduk yang kurang berkemampu­an,” katanya.

Mengulas mengenai aktiviti penyebaran unsur negatif pada masa kini yang sering dikaitkan dengan media sosial, Hazland berkata, masyarakat harus mengubah persepsi pemikiran bagi menangkis pengaruh negatif yang datang dari luar.

“Kita sama sekali tidak mahu masyarakat pada masa kini terlibat dengan aktiviti penyebaran maklumat yang tidak sahih mahupun berunsur pengaruh negatif kepada orang lain melalui laman sosial kerana ia adalah sesuatu yang tidak berfaedah,” jelasnya.

Majlis Penyerahan Surat lantikan Ketua Masyarakat Kawasan Demak Laut menyaksika­n 15 ketua masyarakat di 15 kampung merangkumi kawasan Demak Laut menerima surat lantikan itu.

Turut hadir Pegawai Daerah Kuching Ibrahim Kipli dan Pemanca Rashidi Junai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia