Utusan Borneo (Sarawak)

Kumpulan F: Nigeria akhiri kemarau kemenangan

-

CUIABA, Brazil: Penampilan sulung Bosnia- Hercegovin­a di Piala Dunia berakhir dengan kekecewaan apabila gol Peter Odemwingie memastikan mereka tewas 0-1 kepada Nigeria dan gagal layak ke pusingan kedua di sini Sabtu lepas.

Kemenangan Nigeria, yang pertama mereka di Piala Dunia sejak 1998, membolehka­n juara benua Afrika itu menyertai Argentina ke pusingan kedua.

Argentina mengutip enam mata selepas menewaskan Iran 1-0 pada perlawanan awal, membolehka­n Iran hanya mengutip satu mata sementara Nigeria kini mengumpul empat mata.

Nigeria akan menentang Argentina pada perlawanan terakhir minggu hadapan dengan rekod tidak pernah menang menentang lawan dari benua Amerika Selatan itu sebanyak tiga kali di peringkat pusingan pertama, kali terakhir ialah tewas 0-1 pada 2010.

Odemwingie, yang kadang-kadang sehaluan dengan jurulatih kebangsaan, Stephen Keshi, berkata pasukan menyedari kekecewaan gagal mencipta kemenangan.

“Kami menyedari jurang 16 tahun tanpa kemenangan untuk negara kami,” kata beliau.

“Ini adalah kemenangan yang menarik kepada kami dan juga sangat penting kerana penyokong berasa kecewa dengan prestasi kami menentang Iran (seri tanpa jaringan).

“Kemenangan ini boleh memberikan impak yang besar kepada keyakinan kami dan jika kami melangkah ke pusingan kedua, siapa tahu apa yang boleh berlaku, mungkin ulangan apa yang berlaku pada Piala Negara Afrika tahun lepas di mana kami semakin bagus dalam kejohanan.”

Jurulatih Bosnia, Safet Susic, yang hanya meletakkan Edin Dzeko sebagai penyerang tunggal walaupun berkata selepas kekalahan kepada Argentina di mana beliau akan menurunkan dua penyerang, berkata pasukannya ‘dirompak’ kemenangan oleh pengadil perlawanan, Peter O’Leary.

“Saya diberitahu bahawa tiada sebarang ofsaid tetapi ia bukan kali pertama atau terakhir di mana seorang pengadil melakukan satu keputusan yang buruk di Piala Dunia dan ia pastinya bukan yang terakhir,” kata beliau.

“Kami tewas kepada pasukan yang kuat, Nigeria bermain lebih baik berbanding ketika menentang Iran.”

Emmanuel Emineke sentiasa bahaya di pintu gol lawan dan beliau mencipta gol apabila melakukan larian deras bersama bola di sayap kanan sebelum melakukan umpanan kepada Peter Odemwingie untuk menjaringk­an gol tunggal kemenangan.

Bosnia tidak banyak menyerang walaupun mereka boleh berkata mereka dirompak satu gol apabila Dzeko melakukan satu jaringan tetapi tidak dibenarkan pengadil kerana ofsaid, walaupun beliau berada pada kedudukan yang betul.

Dzeko hampir mengikat kedudukan pada minit akhir sebanyak dua kali apabila tandukanny­a tepat ke arah penjaga gol Vincent Enyeama sebelum satu lagi rembatan berjaya ditepis dengan kaki oleh Enyeama dan bola melantun terkena palang sebelum keluar. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia