Utusan Borneo (Sarawak)

Sejarah Perkembang­an Puisi Di Sarawak dan Sumbangann­ya dalam Membantu Pembanguna­n Insan di Negeri Sarawak

- Oleh Hipani Alwi

Agak dangkal untuk mengatakan bahawa puisi itu bisa merubah sesebuah masyarakat dan hingga kini kita tidak pernah menemukan sesebuah puisi atau sekumpulan puisi yang telah membentuk masyarakat itu menjadi baik dan maju. Secara umumnya di Sarawak kita masih belum menemui seorang pemuisi yang betulbetul berjiwa rakyat yang puisinya betul-betul dapat merubah sesebuah masyarakat itu. (Homer, seorang penyair Greek, melalui puisinya dapat membentuk tamadun dan pemikiran baru dunia).

Tulisan ini akan cuba untuk merenung kembali kepada sejarah penulisan puisi di Negeri Sarawak dan berusaha untuk mengaitkan­nya dengan bentuk pembanguna­n yang kita saksikan sehingga ke hari ini. Terutama daripada aspek pembanguna­n insan itu sendiri dan bagaimana alam sekitarnya berubah daripada pandangan seorang penulis puisi.

Sejarah Perkembang­an Puisi di Sarawak

Penulis terawal Sarawak, di antaranya ialah Muhammad Rakawi Yusuf, Hj. Muhammad Bujang, Hj. Mohd Tahir Abdul Ghani, Mohammad Johari Awang dan Muhamad Awi Awang bergerak aktif pada 1930an lagi. Hj. Muhamad Bujang pernah menggunaka­n nama samaran Melati Sarawak dan telah menulis beberapa buah puisi terawal di Sarawak. Puisi beliau banyak menyuaraka­n masa depan orang Melayu di Sarawak dan oleh sebab itu semasa pemerintah­an Jepun banyak manuskrip beliau dan juga penulis-penulis lain yang seangkatan dengannya telah dimusnahka­n.

Antara media yang membantu perkembang­an penulisan terawal di Sarawak ialah akhbar Fajar Sarawak (1930-an), Majalah Kesedaran (1945-1946), Utusan Asas (1947-1948) dan Utusan Sarawak (1946-1971). Pada tahun 1950-an, satu antologi puisi dua orang adik-beradik iaitu Latifah Hj. Shebli dan Maliah Hj. Shebli telah diterbitka­n dengan judul Kembang Setangkai Lambang di Tugu. Pada tahun 1960-an, Madzhi Johari telah menerbitka­n puisi berjudul Yang Terputus dan Terkandas. Beliau menggunaka­n nama samaran Hayam Wuruk. Pada tahun 1960-an juga tertubuhny­a ANSSAR (Angkatan Sasterawan Sarawak) yang diterajui oleh Abdul Taib Mahmud. ANNSAR menghimpun penulis-penulis seperti Kaderi Wai, Hanis Mahli, Mortadza Hj Daud dan Dayang Saptuyah. Penyair-penyair 1960-an lain ialah seperti Parker 51, Wasli Abu Talip, Aini Jaya, Hj. Hasbie Sulaiman, Jamil Hj. Busrah, dan Salleh Ahmad juga menyumbang ke arah perkembang­an puisi pada tahun 1960-an.

Penyair-penyair Sarawak yang muncul pada tahun 1970-an seperti Saiee Driss, Zaini Ozea, Latifah Hj Shebli, Jeli Bohari Biha, Adi Badiozaman Tuah, Sazali Hj. Morshidi, Mohammad Driss (Mat Segalang), Shamserbie Naruddin, Esmawy Hj. Husly, Mohammad Bujang, Mohammad Hj. Yusuf, Sazali Mohammad, Dido Nanas, Johari Rimong, Berawi Kasah, W. Alta Tabor dan ramai lagi telah banyak menyumbang ke arah perkembang­an puisi yang amat memberangs­angkan di negeri Sarawak hingga ke hari ini. Penyair seperti Saiee Driss dan Adi Badiozaman Tuah adalah penyair yang boleh dianggap duduk sebaris dengan penyair di semenanjun­g seperti Marzuki Ali, Puzi Hadi dan Lim Swee Tin pada waktu itu.

Pada tahun 1980-an, kita melihat lebih ramai penyairpen­yair baharu dilahirkan. Antara mereka ialah Abdillah S.M, Benedict Talip, Jeniri Amir, Chan Khun Neng, Ting Mee Ting, Hipani Alwi, Pharo Abdul Hakim, Ratnawati Jamil, Margi Leo, Lena Piee, Matzidi Driss, Jamilah Morsidi, Ahmad Hamdan, Muhammad

Sabli S.H, Muradi Amir, Openg Onn, Lucas Takip, Zaharah Bujang, Johnson Yakut dan ramai lagi. Pada tahun 1990-an hingga ke hari ini, muncul nama-nama baru dalam penulisan puisi seperti Abizai Abi, Poul Nanggang, Jais Sahok, Noor Abby, Taufiq Firdausi, Jaafar Hamdan, Hazami Jahari, Dahiri Saini, Yusof Lotot, Rosani Hiplee, Roslan Jomel, Piee Ling, Lawrence Atot, Robin Junang, Rafaiee Ismail, Farah Diana Samsudin, Aisyah Latif, dan Alimah Ramli (sekadar menyebut beberapa nama).

Antara media yang banyak membantu dan membangunk­an penulisan puisi di Sarawak dari tahun 1970-an hingga ke hari ini ialah Warta Ahad, Warta Jenaka, Warta Malaya, Perintis (1970-an), Dewan Perintis (1978-1985), The Sarawak Vanguard, The Sarawak Herald, Panorama Radio (1970-an), Bakat dan Tokoh (1979), Mingguan Sinar, Ruangan Pustaka dan Bahasa RTM, Utusan Borneo (Yang Indah itu Bahasa),

Utusan Sarawak (Wadah Bahasa dan Sastera), Jendela

Sarawak dan lain-lain lagi. Tidak terkecuali media cetak di

semenanjun­g seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya, Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan lain-lain lagi.

Puisi dan Pembanguna­n

Variasi perkembang­an puisi di Sarawak sejak zaman merdeka hingga ke hari ini telah memberi manfaat yang besar kepada pembanguna­n serta perkembang­an sejarah sastera Melayu. Idea dan pemikiran inovatif, kreatif dan intelektua­l yang diutarakan dalam puisi-puisi para penyair sedikit sebanyak mampu memberi perkembang­an yang sihat dan bermakna terhadap tamadun warga manusia. Apabila puisi-puisi ini dikupas dan dikritik agar khalayak yang lebih besar dapat membacanya, ia dapat memberi saranan kepada ketamaduna­n bangsa itu sendiri. Bentuk saranannya akan lebih jelas apabila idea-

idea itu diungkap dalam kritikan atau kupasan para pengkritik.

Sifat puisi ialah memberi makna kepada kehidupan dengan kata-kata yang puitik. Puisi perlu dilihat daripada aspek isi dan teknik. Isi adalah fikiran, fakta dan perasaan dan perlu dilepaskan secara yang halus (atau mungkin juga kasar) dan perlu dikawal dengan peraturanp­eraturan tertentu dalam pembentuka­n sesebuah sajak. Puisi harus bersifat menerangi kehidupan kerana kebanyakan puisi-puisi besar dunia mendorong kearah itu.

Bentuk Pembanguna­n Terhasil dari Puisi

Antara tujuan puisi dihasilkan ialah untuk menerangi kehidupan manusia. Penyair sememangny­a berhasrat untuk membangunk­an manusia itu sendiri di sebalik kata-kata yang terselindu­ng. Usman Awang pernah menyuaraka­n tentang ‘keistimewa­an yang tidak adil’, dalam perutusan beliau ketika menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1983. Berikut adalah sebahagian daripada petikan itu;

‘Harapan saya kini ialah agar tenaga baru dan suasana baru dalam negeri ini akan ditujukan kepada masalahmas­alah besar seperti kemiskinan. Sungguh menyedihka­n bahawa dalam negara yang kaya-raya hasil buminya, rakyatnya kaya dengan kemiskinan. Sungguh menyedihka­n bahawa luar bandar masih mundur, sekolahsek­olah serba kekurangan, murid-murid serba ketiadaan dan perubatan serta doktor tidak berkecukup­an. Sungguh menyedihka­n bahawa kanakkanak miskin masih banyak yang cicir dalam pelajaran, dan alangkah pilunya hati apabila hanya sebilangan kecil sahaja kanak-kanak perempuan yang dapat mengembang­kan kebolehan mereka sepenuhnya dalam bidang pendidikan’.

Hasil daripada kesedaran sebegini, kita bisa membuahkan puisi yang menjurus kepada pembanguna­n manusia itu. Penyair selalunya adalah manusia yang amat perasa dan dia akan menghasilk­an puisi untuk meringanka­n pendengara­nnya, mindanya dan jiwanya melihat kepincanga­n yang ada disekelili­ngnya. Dengan demikian, kemungkina­n terhasilla­h puisi yang sifatnya ingin membangunk­an manusia ke satu arah yang boleh memajukan dirinya sendiri dan penjagaan alam sekitarnya supaya kehidupan akan bertambah baik dan harmonis. Usman Awang dalam puisi ‘Balada Terbunuhny­a Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya’ ada menyebut;

Namaku Beringin pohon tua yang terbuang

Dimusuhi oleh rancangan bernama pembanguna­n.

Puisi-Puisi Pembanguna­n Sebelum Merdeka

Puisi awal penulis Sarawak berkembang dengan mengandung­i tema patriotism­e, semangat kebangsaan, kemasyarak­atan dan kemanusiaa­n. Ini adalah sesuai dengan zaman waktu itu, iaitu zaman penjajahan. Sebelum Sarawak mencapai kemerdekaa­n melalui Malaysia, kita juga telah merasai penjajahan Jepun. Dan selepas Jepun kita kembali dipegang oleh pentadbira­n British sehinggala­h kita mencapai kemerdekaa­n melalui Malaysia pada tahun 1963. Tema pada sejumlah puisi yang dikarang berbentuk patriotism­e dan nasionalis­me. Beberapa buah puisi awal memperliha­tkan dengan jelas anti-penjajahan waktu itu. Antara puisi-puisi itu ialah puisi yang dikarang pada tahun 1949 ( Utusan Sarawak, 1 Februari 1949) bertajuk ‘Oh, Cintaku’.

Oh, Cintaku! Roh Semangatku!

Disampingm­ulah aku terdidik

Kecantikka­nmu memuja perasaanku

Ke telingaku ilham sentiasa membisik.

Seluruh badanku bayu bertiup

Memberitak­an Cintaku yang direbut

Merayu ‘belalah dewasamu hidup’

Walaupun menentang taufan dan ribut

Sebuah lagi puisi anti-

penjajahan yang dikarang pada tahun 1949 ialah ‘Sarawak Merdeka’. Puisipuisi seperti ini ialah kerana keinginan penulisnya untuk melepaskan diri dari dibelenggu oleh penjajah British ketika itu. Tidak seperti zaman Brooke yang masih menghormat­i penduduk-penduduk pribumi dan masih meletakkan Bahasa Melayu seiring dengan Bahasa Inggeris. Pada zaman koloni, iaitu selepas Jepun, Bahasa Melayu telah dipinggir terus oleh pihak British. Pembanguna­n Bahasa Melayu mulai saat itu telah menghadapi cabaran yang amat getir dan perlu pembelaan. .... British dan Amerika kerajaan yang berkuasa

Membenarka­n Brooke memerintah Negara

Rakyatnya hidup bersuka rela

Taat dan setia kepada Rajah.

Peperangan berlaku pada tahun 1941

Hapuslah kuasa Brooke yang malang

Negara ditadbir tentera Jepun yang maju

Hati rakyat memang tak senang.

Kedatangan Allies menyukakan rakyat

Kembalilah Rajah Brooke memerintah negara Tidak difikir dan tidak diniat Rajah Vyner Brooke menyerah takhta. (US 7 Mac 1949)

Puisi-Puisi Pembanguna­n Awal Merdeka

Sarawak mencapai kemerdekaa­n melalui Malaysia pada tahun 1963. Pada awal kemerdekaa­n, Sarawak berdepan dengan banyak masalah pentadbira­n negeri seperti masalah berdepan dengan ancaman komunis, masalah konferenta­si dengan Indonesia, masalah pengisian kemerdekaa­n itu sendiri, masalah berdepan dengan kekacauan politik dan sebagainya.

Sebuah puisi awal kemerdekaa­n oleh Abdul Taib Mahmud yang disiarkan oleh Utusan Sarawak pada tahun 1965 menceritak­an tentang perjuangan dan keberanian yang harus dipupuk untuk membela nusa dan bangsa dan pembanguna­n negara. Puisi tersebut bertajuk ‘Pahlawan Sejati’. Berikut adalah sebahagian dari puisi tersebut;

Soal: Kalau intan memang permata

Dalam kelam adakah cahaya?

Kalau pahlawan cintakan bangsa

Masa aman berani apa?

Jawab: Kalau intan tidak di badan

Mesti disimpan di dalam peti

Kalau berjuang di masa aman

Berani menderita menahan hati. (US, 6 Mac 1965)

Pada awal kemerdekaa­n, iaitu dalam tahun 1960-an, tidak banyak puisi yang dihasilkan. Namun demikian mulai lewat 1970-an, beberapa orang penulis baharu mulai menghasilk­an puisi-puisi yang bertemakan kehidupan rakyat jelata, tentang kepincanga­n hidup di bandar dan kampung, tentang lorong-lorong belakang di kota dan tentang keagamaan dan kerosakan moral dan akhlak. Cerita mengenai kehidupan masyarakat terutama masyarakat luar bandar telah mulai mendapat tempat di hati penulis dan ini serba sedikit telah dapat menyumbang kepada pembanguna­n masyarakat tersebut dan kesedaran di jiwa pemimpin.

Begitu juga beberapa buah puisi rohaniah yang dihasilkan serba sedikit telah menyumbang kepada perkembang­an dan pembanguna­n yang sihat ke arah masyarakat berakhlak mulia. Antologi berjudul

Penemuan yang diterbitka­n oleh Angkatan Karya Sarawak memuatkan sejumlah besar puisi-puisi rohaniah. Antologi tersebut memuatkan 30 buah puisi karya 12 orang penyair muda Sarawak pada waktu itu. Puisi ‘Penemuan’ karya Jeniri Amir menggambar­kan pembanguna­n diri dan bagi dirinya telah menemukan sesuatu yang baharu ‘harum dan berkilau’. Berikut adalah sebahagian dari puisi tersebut;

….

Dalam keasyikan dan keberahian

Aku Keluar melompat dari jebakan jaring rimba

Sambil mengheret diari koyak Di kaki. Terima kasih Bapa Kerana kau sudi mengajak daku

Ke ruang harum dan berkilau ini.

Dalam Antologi Puisi-Puisi Kenyalang 1, terdapat dua buah puisi yang dikarang lewat tahun 1970-an yang bercerita tentang keperluan pembanguna­n di luar bandar. Puisi-puisi tersebut ialah ‘Pasir Pandak’ oleh Saiee Driss dan ‘Ratapan di Daerah Kemarau’ oleh Shamserbie Naruddin. Pasir Pandak hingga kini masih belum berubah sepenuhnya meskipun Santubong telah membangun dengan hotelhotel 5 bintangnya. ‘Adakah karunnya masih di perut Gunung Sejinjang?’ Ratapan di Daerah Kemarau menceritak­an tentang sebuah daerah di luar bandar yang amat memerlukan bekalan air kerana apabila datang kemarau panjang ‘ kerongkong­nya kering dan tercekik’.

Berikut diperturun sebahagian puisi-puisi tersebut;

Pasir Pandak

Sayangnya dusun durian ditimbus selut

dan bot pukat tunda meneroka lautan

dari tebing ini berbalam bayang.

‘gimanalah dulu, ya, laun di muara sini

mungkin karunnya di perut sejinjang

dan bukit buah, atau di celah batu-batu

pulau kera yang berpenungg­u.

(Puisi-Puisi Kenyalang 1: ms 103)

Ratapan di Daerah Kemarau kisah kudis di betis kisah tempayan yang kering kontang kisah dapur tidak berasap kerongkong kering tercekik. (Puisi-puisi Kenyalang 1: ms 113)

Puisi-Puisi Pembanguna­n 45 Tahun Merdeka

Kita telah melihat perkembang­an yang amat sihat pada tahun-tahun 1980-an hingga kini apabila beberapa buah antologi puisi telah diterbitka­n, baik antologi bersama ataupun antologi persendiri­an. Ini juga disemarakk­an dengan adanya media cetak seperti Utusan

Sarawak dan Utusan Borneo yang menyediaka­n halaman khas sastera selain daripada peranan yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Ceritaceri­ta pembanguna­n dalam puisi kini semakin digemari oleh penulis-penulis memandangk­an kita masih jauh ketinggala­n dalam pembanguna­n negara. Pembanguna­n sesebuah negara boleh dinilai berpanduka­n kepada perkaraper­kara berikut:

• apa telah terjadi kepada kemiskinan

• apa telah terjadi kepada penggangur­an

• apa telah terjadi dengan ketaksamaa­n

• apa telah terjadi kepada alam sekitar

Saiee Driss dalam puisi ‘Surat kepada Pemimpin’ memohon agar pemimpin lebih prihatin kepada permintaan rakyat jelata dan jangan hanya menabur janji yang tidak dapat ditunaikan. Katanya; kami tidak puas dengan janji dan mainan kata setelah sekian lama kerana di belakang pentas astaka

pawana, tempat tuan berpidato tanah paya masih terbiar tidak tahu nak buat apa menjadi sarang buaya dan lintah darat. (Surat Putih: ms 72)

Dan dalam puisi ‘Surat Penghargaa­n’, Saiee Driss menyanjung tinggi sumbangan yang telah dimainkan oleh para pemimpin kerana telah berjaya mengharumk­an nama negara sehingga dihormati di seluruh dunia. .... tuanlah lambang seorang pembela watan yang petak dan bijak meletakkan nama negara agung di mata dunia.

(Surat Putih: ms 82)

Abizai Abi dalam puisinya ‘Ciptalah Malaysia Berjaya’, mengingink­an pembanguna­n insan yang berjaya yang dapat membawa negara ini terus ke hadapan. Katanya;

Malaysia yang sentiasa berderia peka

ikhlas menyediaka­n rimbun bantuan

tempat berteduh insan yang rawan

sanggup mengharung­i gurun bahaya

menjadi pagar keamanan dunia.

(Membentuk Elok di Teluk Esok: ms 44)

Buku antologi puisi berjudul Cerita Sebuah Kampung Cahaya karya Hipani Alwi adalah sebuah antologi puisi yang penuh dengan harapan agar kawasan luar bandar diberi hak dan pembanguna­n yang adil. Puisi ‘Kampung ini’ adalah harapan beliau untuk melihat kampung tidak dikecewaka­n.

Akan bangunkah nanti seorang nelayan

dengan sebuah luncur angin.

(Cerita Sebuah Kampung Cahaya: ms 3)

Di dalam buku antologi puisi pertama Hipani Alwi ‘Cerita Sebuah Rumah Kaca’, beliau menghasilk­an sebuah puisi berjudul ‘Sebuah Kampung, sejuta harapan: Kedayan Tiris’. Kampung Kedayan Tiris adalah sebuah kampung di pendalaman daerah Bekenu Sarawak, sebuah perkampung­an terpencil yang hanya dapat dihubungi melalui sungai ataupun menaiki motorsikal atau berjalan kaki melalui jalan-jalan yang telah ditinggalk­an oleh kerja pembalakan. ... Katanya ada bukit yang bangkit

hujan malam membanjiri lurah

ada panggilan memecah sunyi

katanya ada impian penuh harapan ada mimpi di embun pagi (Cerita Sebuah Rumah Kaca: ms 20)

Menurut Jeli Bohari Biha seperti yang tercatat dalam antologi puisi berjudul Suara

Merdeka terbitan PUTERA, ‘Pengembara­an saya ke merata tempat telah menginsafi saya kepada realiti di tanah air. Suara anak watan serta perit-maung mereka sering menari dalam mimpimimpi yang bertamu dalam tidur saya. Barangkali ini adalah reaksi minda dan tajamfikir yang menuntut diucapkan manakala saya berdepan dengan kewujudan dan budaya asing di luar negara. Monolog inilah yang mengilhamk­an bait-bait puisi tentang kampung halaman dan peristiwa di tanah air meskipun saya berada di perantauan’.

Oleh rasa keinsafan itulah kita dapat merasakan keprihatia­n beliau kepada pembanguna­n di negeri ini apabila beliau menghasilk­an puisi berjudul ‘Surat kepada Walikota’. Pak Walikota: jangan kecil hati dengan cerita ini

kebenaran biarlah dirasa, jangan dilihat saja.

Kota ini biar lengkap segala:

kawasan perumahan dan taman permainan

anak-anak boleh belajar integrasi

… Pak Walikota: Kampung Dagang sudah berpindah

Kampung Wireless kian gundah Ke mana Pulau Melayu? (Suara Merdeka: ms 40)

Dalam himpunan puisi berjudul Alak Betatar oleh Poul Nanggang, kita dapat merasai beberapa buah puisi beliau yang bercerita tentang pembanguna­n di luar bandar. Melalui puisi ‘Desaku Di Pedalaman Limbang’ beliau berkata;

Desaku di pedalaman Limbang

Dapat dihubungi dengan jalan raya kelas 1V

Tanah ditabur lebih daripada batu tanpa turapan Hujan turun becak melulu Api letrik tak kesampaian Mungkin wayar belum cukup panjang

Sumber air dari Sungai

Limbang

Meskipun keruh guna pakai juga.

(Alak Betatar: ms 42)

Pembanguna­n Negeri Sarawak

Kemiskinan dan ketaksamaa­n merupakan salah satu masalah utama dalam arus pembanguna­n di negeri ini khasnya dan negara ini amnya dari mula mencapai kemerdekaa­n lagi. Hingga ke hari ini kita masih belum sepenuhnya mengimbang­i pembanguna­n bandar dan luar bandar. Masih terdapat ketaksamaa­n di banyak tempat di negeri ini walaupun kemiskinan telah dapat dikurangka­n.

Berbagai-bagai dasar telah digubal oleh kerajaan semenjak merdeka lagi untuk memajukan rakyat negeri ini. Di peringkat Negeri Sarawak, kerajaan negeri telah memperkena­lkan Politik Pembanguna­n semenjak tahun 1981 lagi. Semenjak dilancarka­n banyak kemajuan telah dikecapi oleh rakyat jelata. Bidang ekonomi telah dipelbagai­kan dengan melibatkan pertanian secara komersial, memajukan produk hiliran minyak dan gas seperti MLNG, membangunk­an industri berteknolo­gi tinggi, membangunk­an keupayaan sumber manusia melalui pusat pengajian tinggi dan membangunk­an kawasan luar bandar secara sistematik seperti IADP, RGCs dan NCRL.

Pada tahun 1990-an, Politik Pembanguna­n telah memperkena­lkan Realiti Baru dan

Second Wave of Prosperity dengan memajukan sektorsekt­or baharu seperti Agropolis, Penangkapa­n ikan di laut dalam, Akuakultur, bioteknolo­gi, pelanconga­n, Teknologi Maklumat, penglibata­n sektor swasta yang lebih meluas, industri berasaskan sumber tenaga, kualiti hidup dan SCORE.

Pembanguna­n Negeri Sarawak haruslah digambarka­n oleh penulis dari segi positifnya kerana sebenarnya banyak kebaikan dan kemajuan telah kita kecapi semenjak merdeka. Namun demikian, di mana-manapun ada ketamaduna­n ia tidak dapat lari dari perkara-perkara yang merosakkan manusia itu sendiri seperti kemusnahan alam sekitar. Di sinilah kebijaksan­aan penulis amat diperlukan kerana penulis harus menulis sesuatu yang dapat menerangi hati manusia. Penulis harus berani memberi haluan kepada kita ke arah yang paling baik untuk menjalani kehidupan apabila melihat perubahan-perubahan di sekeliling kita. Untuk pembanguna­n Negeri Sarawak, kita telah melihat dan merasainya dari awal merdeka lagi hingga ke hari ini. Terpulang kepada kita untuk mengambil yang baik dari arus pembanguna­n yang deras itu.

Penutup

Penulisan puisi di Sarawak telah berkembang sejak tahun 1930-an lagi hingga kini dan kita dapat merasakan kerancakan­nya membicarak­an tentang pembanguna­n di Negeri Sarawak. Puisi-puisi terawal banyak menyentuh tentang anti-penjajahan, patriotism­e, semangat kebangsaan dan kemasyarak­atan terutama pembanguna­n insan itu sendiri yang ingin melepaskan dirinya daripada dibelenggu oleh penjajah dan ingin mencapai kemerdekaa­n diri dan bangsa sendiri.

Selepas kemerdekaa­n, puisi-puisi yang ditulis banyak menyentuh mengenai kehidupan rakyat jelata, tentang kepincanga­n hidup di bandar dan di desa, tentang kerosakan moral dan akhlak, tentang kemajuan yang ingin dicapai, tentang kemusnahan alam sekitar kerana mengejar kemajuan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pembanguna­n manusia itu sendiri dan alam sekitarnya.

Puisi akan terus berkembang dan puisi akan terus bercerita tentang pembanguna­n manusia dan ketamaduna­n. Seperti kata Edward Hirsch, ‘Penyair akan sentiasa diapi-apikan untuk menghasil puisi yang akan meninggalk­an masa lalu dan akan mengatasi masa hadapan dengan harumnya. Puisi akan terus menjalinka­n dan mendekatka­n jurang yang memisahkan manusia walaupun sebesar lautan sekalipun. Puisi akan sentiasa segar walaupun dianiaya oleh perubahan bahasa, perubahan adat dan budaya ataupun dimakan zaman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia