Utusan Borneo (Sarawak)

Hukum berkabung ‘harus’ dan tidak bercanggah dengan Islam

-

KUALA LUMPUR: Amalan berkabung bagi menghormat­i kematian seseorang adalah harus dan tidak bercanggah dalam Islam, kata Dekan Institut Antarabang­sa Pemikiran dan Tamadun Islam ( ISTAC) Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Bagaimanap­un, katanya amalan itu tidak boleh dilakukan secara berlebihan dengan penganjura­n upacara tertentu yang dilarang oleh Islam.

“Dalam Islam, seseorang isteri yang kematian suami disunatkan untuk berkabung selama tiga hari sahaja untuk menunjukka­n kesedihan dan kesetiaan terhadap suaminya. Namun, kesedihan itu tidak boleh berlebihan seperti terlalu meratap,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata mengikut Islam, amalan mengibarka­n bendera separuh tiang berikutan kematian mangsa seperti tragedi pesawat Malaysia Airlines Penerbanga­n MH17 adalah harus selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Dr Mahmood Zuhdi diminta mengulas mengenai pengisytih­aran Jumaat depan sebagai Hari Berkabung Negara berikutan ketibaan jenazah 15 warga Malaysia dan seorang jenazah bukan warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17 itu di Ukraine bulan lepas.

Istiadat penghormat­an ketibaan jenazah akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabang­sa KL (KLIA) di Sepang.

Penerbanga­n MH17 itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampira­n sempadan Rusia pada 17 Julai setelah ditembak jatuh.

Namun, sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggun­gjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Dr Mahmood Zuhdi berkata hari berkabung yang diisytihar­kan itu menunjukka­n seluruh rakyat Malaysia bersedih di atas kematian mangsa MH17.

Beliau turut mencadangk­an supaya semua aktiviti hiburan termasuk operasi di pusat hiburan dan panggung wayang dihentikan sementara sebagai tanda berkabung.

“Keadaan ini adalah sama dengan situasi yang dihadapi oleh seorang isteri yang tidak dibenarkan berpakaian cantik, berpeleser­an dan berhibur selama berkabung atas kematian suami,” katanya.

Beliau mencadangk­an penutupan sementara itu dibuat selama tiga hari selari dengan saranan Islam.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata pengisytih­aran Jumaat depan sebagai hari berkabung dilakukan untuk mengajak seluruh rakyat di negara ini supaya bersimpati dengan keluarga mangsa tragedi MH17.

“Kalau berkabung yang hanya sebagai menunjukka­n rasa simpati dan sedih serta tidak melanggar hukum syarak Islam, itu tidak menjadi masalah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau meminta rasa kesedihan terhadap mangsa MH17 yang beragama Islam dizahirkan melalui doa dengan meminta roh mangsa ditempatka­n bersama golongan soleh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia