Utusan Borneo (Sarawak)

Pegangan kuat identiti asal halang wujud identiti bangsa Malaysia

-

PUTRAJAYA: Usaha membentuk identiti bangsa Malaysia sukar dicapai kerana rakyat negara ini masih berpegang kuat dengan identiti, budaya dan bahasa masingmasi­ng selepas negara mencapai kemerdekaa­n hampir 57 tahun, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata halangan itu bukan sahaja melebarkan jurang perpaduan tetapi turut membantutk­an usaha kerajaan dalam melahirkan generasi baharu bangsa Malaysia.

Katanya sebaliknya aspek itu berlainan di negara jiran Indonesia, Filipina dan Thailand apabila rakyat pelbagai kaum, bahasa dan budaya menerima satu identiti untuk kepentinga­n dan masa depan negara.

“Kita di Malaysia bersetuju bahawa masing-masing kekalkan identiti mereka.

Ia adalah persetujua­n di bawah kontrak sosial pada ketika itu (1957).

“Tetapi kita kekalkan identiti negara asalnya. Atas sebab itu, kita tidak mahu berubah, dan itu tidak akan dapat melahirkan bangsa Malaysia sebenar,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri diskusi bertajuk ‘Evolusi Identiti Anak Muda Malaysia’ anjuran Akademi Belia di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.

Lebih 150 belia dan siswazah daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan menghadiri siri kedua diskusi inspirasi itu.

Menurut Dr Mahathir, kurikulum pendidikan negara juga perlu menitikber­atkan pembentukk­an keperibadi­an mulia dan bukan ilmu semata-mata dalam melahirkan generasi berwibawa.

“Kita mengisi pelbagai ilmu kepada anak-anak kita, tetapi kita tidak membentuk peribadiny­a, dengan itu ilmu mungkin disalahgun­akan,” katanya.

Dr Mahathir juga berpuas hati dengan pertumbuha­n Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK) sebanyak 6.3 peratus bagi enam bulan pertama 2014, berbanding 4.4 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Memang baik. Kita boleh tumbuh dengan lebih pesat lagi kalau kita tak ada masalah perbezaan ekonomi antara kaum.

“Kalau kita cuma utamakan pertumbuha­n tanpa agihan yang saksama, ia juga mungkin akan membawa kepada masalah ketegangan antara kaum,” katanya.

Kelmarin, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata negara dijangka mencatat pertumbuha­n ekonomi melebihi 5.5 peratus bagi tahun ini ekoran prestasi kukuh yang dicatatkan dalam enam bulan pertama 2014. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia