Utusan Borneo (Sarawak)

Perlu penyerang baharu

Rodgers mahu tempat Suarez diisi dengan segera

-

LIVERPOOL, England: Brendan Rodgers mengakui dia masih mahu menandatan­gani seorang penyerang baharu ketika Liverpool bersiap sedia untuk memulakan kehidupan tanpa Luis Suarez apabila mereka menentang Southampto­n di Anfield pada malam ini (Ahad).

Pemergian Suarez ke Barcelona dengan nilai 75 juta pound (RM401.3 juta) selepas dia digantung empat bulan kerana menggigit pemain lawan di kejohanan Piala Dunia baru-baru ini telah meninggalk­an Rodgers dengan lubang besar untuk diisi.

Pemain antarabang­sa Uruguay itu menjaringk­an 31 gol pada musim lepas ketika Liverpool menamatkan musim di tempat kedua dalam Liga Perdana, selepas gagal tipis untuk memenangi kejuaraan liga utama mereka yang pertama sejak 1990.

Sejak itu Rodgers sudah menambah lapan pemain baharu dan dengan pemain pertahanan Sevilla Alberto Moreno yang bakal ditambah kepada jumlah tersebut, pengganti bagi Suarez masih satu bahagian yang hilang dari gambaran.

“Jika kita dapat menambah satu atau dua lagi, jendela kita boleh dikatakan hebat. Saya rasa musim panas ini adalah jendela terbesar kita bagi beberapa tahun akan datang,” kata Rodgers.

“Ia memang sudah menjadi hakikat bahawa kita perlu memperbaik­i skuad. Kami belum membawa masuk penyerang lain setakat ini selain Rickie Lambert.

“Duit ada tetapi tiada pembelian panik yang telah berlaku. Kami perlu memperbaik­i skuad tidak kira sama ada Luis masih ada di sini atau tidak.

“Kami akan berusaha untuk memperbaik­i diri di bahagian atas liga sehingga ke penghujung jendela.

“Jika tidak, ia bermakna pemain yang tepat belum ada lagi. Saya gembira untuk memulakan musim baharu dengan skuad yang kami miliki.”

Liverpool ketinggala­n hanya dua mata sahaja untuk melepaskan kejuaraan kepada Manchester City pada musim lepas dan Rodgers berharap kegagalan tipis itu dapat menjadi platform bagi satu lagi cubaan bagi menamatkan penantian lama kelab untuk menambah kejuaraan ke-19 kepada senarai kejohanan mereka.

“Apa yang kami buat pada musim lepas sudah berlalu tetapi ia telah memberi kami kepercayaa­n yang amat tinggi untuk memulakan tahun ini dan kami mengalualu­kan cabaran untuk menggerakk­an kelab ke hadapan,” tambahnya.

“Seperti semua pasukan terkemuka, kita mahu memenangi piala. Itu adalah satu matlamat bagi kami sendiri.

“Namun dalam liga, ia adalah mengenai memelihara bola sepak Liga Juara-Juara. Itu bermakna tempat keempat yang kita mahu capai dan kemudian melihat lebih jauh daripada itu.

“Kami mahu memberikan cabaran dan berada di atas sana sekali lagi.”

Liverpool akan bermain tanpa dua pemain baharu Adam Lallana – bekas kapten Southampto­n – dan Lazar Markovic apabila menentang The Saints, selain dua pemain pertahanan Daniel Agger dan Jon Flanagan yang turut berada dalam senarai pemain cedera.

Sementara itu pengurus Southampto­n Ronald Koeman sewajarnya rasa lega kerana musim baharu akhirnya akan bermula.

Pramusim di St Mary’s telah didominasi pemain yang masuk dan keluar walaupun, selepas menyaksika­n beberapa pemain penting meninggalk­an kelab – termasuk Lallana, Rickie Lambert dan Dejan Lovren ke Anfield – aliran akhirnya sudah terbalik.

Ketibaan penyerang Shane Long dari Hull City dan pemain pertahanan tengah dari Steaua Bucharest, Florin Gardos, pada pertengaha­n minggu ini menjadikan jumlah muka baharu dalam skuad Koeman seramai lapan orang. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia