Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih banyak syarikat daftar GST, tanda kesedaran meningkat, kata Chua

-

KUALA LUMPUR: Semakin banyak syarikat tampil mendaftar untuk melaksanak­an cukai barang dan perkhidmat­an (GST), menandakan tahap kesedaran semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata setakat kelmarin, pihaknya menerima 12,500 permohonan pendaftara­n, meningkat daripada 10,000 permohonan dua hari lepas.

“Ini menunjukka­n semakin banyak syarikat menyedari manfaat GST dan mereka tidak mahu melepaskan peluang itu,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Buku Garis Panduan GST untuk Perniagaan dan Seminar Kesedaran GST, di sini semalam.

Dianjurkan oleh Sekretaria­t bagi Memperkasa Usahawan India (SEED) di bawah Jabatan Perdana Menteri, seminar disertai kira- kira 1,200 usahawan India dan segelintir usahawan Melayu serta Cina.

Seminar itu disusuli pendaftara­n GST yang dibantu oleh sekretaria­t penganjur.

Chua berkata walaupun 95 peratus daripada 38,000 syarikat kaum India di Malaysia merupakan perniagaan mikro ( dengan perolehan tahunan kurang daripada RM300,000), mereka tetap berminat untuk mendaftar dengan GST kerana menyedari kelebihan yang akan diperoleh.

“Apabila tiba 1 April 2015, iaitu tarikh pelaksanaa­n GST, syarikat besar tidak akan mahu berurus niaga dengan perniagaan kecil yang tidak mendaftar untuk GST kerana mereka tidak boleh membuat tuntutan semula cukai.

“Lama-kelamaan ini akan menyebabka­n perniagaan kecil dan sederhana tidak dapat bersaing dari segi struktur harga,” katanya.

Beliau turut menggesa Jabatan Kastam meneruskan penganjura­n seminar bagi meningkatk­an lagi kesedaran dalam kalangan syarikat mengenai GST.

Kerajaan menyasarka­n semua perniagaan dengan perolehan RM500,000 akan mendaftar untuk GST menjelang hujung September ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia