Utusan Borneo (Sarawak)

Ferrari antik mencatat rekod lelongan termahal AS$38j

-

LOS ANGELES: Sebuah kereta merah Ferrari 250 GTO Berlinetta model 1962 yang jarang ditemui, terjual dengan nilai AS$38.1 juta di California, sekali gus menjadi kereta paling mahal pernah dijual semasa lelongan.

Rekod sebelum ini dipegang model 1954 Mercedes-Benz W196R Formula 1 yang dijual di Britain tahun lepas dengan nilai AS$30 juta.

Ferrari penuh sejarah pahit itu dilelong semasa Monterey Car Week berhampira­n San Francisco pada Khamis dan berasal daripada koleksi Maranello Rosso dengan nombor casis 3851 GT.

Hanya 39 kereta seumpamany­a diketahui telah dihasilkan, menurut gedung lelongan Bonhams yang tidak mendedahka­n nama pemilik baharunya.

Pemilik pertamanya adalah pelumba Perancis Jo Schlesser, yang memandu kereta dalam perlumbaan dengan kawannya, pelumba sukan salji Olimpik Henri Oreiller, semasa 1962 Tour de France Automobile.

Namun kali kedua mereka menaiki kereta itu semasa perlumbaan Coupes du Salon, Oreiller terbabas dan maut dalam nahas tersebut.

“Kereta itu remuk teruk selepas merempuh sebuah bangunan tepi trek dan Jo Schlesser yang berkabung menghantar­nya balik ke kilang untuk dibaiki seperti baharu dan kemudian dijual semula,” kata Bonhams.

Paolo Colombo dari Itali membelinya pada tahun berikutnya bagi pertanding­an dan kemudian menjualnya kepada Ernesto Prinoth, yang menurut Bonhams, memulakan program bertenaga campuran mendaki bukit dan sirkit.

Peminat setia Itali Fabrizio Violati membeli kereta itu pada 1965 dan menyimpann­ya sehingga beliau meninggal dunia pada 2010.

Ia kemudian dimiliki Maranello Rosso Collezione.

Antara selebriti yang memiliki kereta Ferrari 250 GTO adalah pereka fesyen Ralph Lauren, pemain dram Pink Floyd Nick Mason dan pewaris rangkaian pasar raya Wal-Mart Rob Walton, menurut The Los Angeles Times. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia