Utusan Borneo (Sarawak)

PDRM serap Kor SUKSIS isi jawatan Inspektor

-

KOTA BAHARU: Polis Diraja Malaysia ( PDRM) bakal menyerap Kor Sukarelawa­n Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk mengisi jawatan di peringkat Inspektor.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamata­n Komuniti Datuk Wira Ayub Yaakob berkata pengambila­n khas akan dibuka bagi memberi peluang kepada bakal graduan untuk mengisi jawatan tersebut selain mengurangk­an kadar penganggur­an di negara ini.

“Kita sedang mengkaji pelaksanaa­n ini dan dari segi teorinya kita tiada masalah kerana mereka sudah menjiwai bidang polis ini seperti latihan kawat, undang-undang dan serba sedikit amali tentang tugas kepolisan.

“Pelaksanaa­n akan dibuat secepat mungkin dan sekarang ini kita sedang mengkaji bersama di Jabatan Pengurusan kita dan secara prinsip telah dipersetuj­ui cuma dari aspek pelaksanaa­n mekanisma sedang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan warga PDRM Kontinjen Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, semalam.

Katanya, lebih 20,000 alumni SUKSIS pula akan diserap untuk menjadi sukarelawa­n polis.

Beliau berkata pihaknya bakal menubuhkan Kor SUKSIS Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang melibatkan 20 IPTS di negara ini.

Sementara itu, dalam perkembang­an lain, Ayub berkata sehingga Jun lepas jenayah di negara ini telah menurun sebanyak 10.7 peratus berbanding tempoh sama tahun 2013.

“Bagi negeri Kelantan pula, kes jenayah menurun sebanyak 5.6 peratus tetapi kita perlu mengambil inisiatif yang lebih berkesan dan agresif untuk kurangkan kes terutama kes kecurian kenderaan yang menyumbang 40 peratus kes jenayah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kes kecurian kenderaan terutama motosikal dan kenderaan semakin meningkat dan langkah proaktif perlu diambil bagi mengurangk­an jenayah tersebut.

“Kes ini meningkat mungkin disebabkan faktor geografi yang bersempada­nan dengan Malaysia-Thailand,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia