Utusan Borneo (Sarawak)

Misi KP1M ke Gaza bertolak dari Ismailia

-

ISMAILIA ( Mesir): Misi Bantuan Kemanusiaa­n Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza memulakan perjalanan dari Ismailia menuju pintu sempadan Rafah pada jam 2 petang waktu Malaysia (9 pagi waktu tempatan).

Konvoi yang terdiri daripada dua buah bas, sebuah kontena membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan dan beberapa kenderaan kedutaan Malaysia di Mesir dijangka tiba pada petang semalam di sempadan Rafah selepas menempuh perjalanan kirakira 300 kilometer (km).

Kontena lain yang membawa baki muatan bekalan makanan dan ubatan difahamkan dalam persiapan terakhir di Kaherah dan akan menyusul kemudian.

Dari Ismailia, misi akan menyeberan­gi Terusan Suez dengan feri ke Al- Arish dan seterusnya akan diiringi dengan kenderaan pasukan keselamata­n sebaik tiba di AlArish, sepanjang perjalanan di kawasan utara Sinai.

Misi yang sepatutnya tiba di sempadan Rafah dengan 83 peserta pada petang Sabtu terpaksa bermalam di Ismailia selepas kira-kira 120km perjalanan dari Kaherah apabila kargo membawa bekalan makanan dan ubatan difahamkan menghadapi kesulitan di Kaherah.

Peserta misi berkuranga­n kepada 81 orang pada Ahad selepas seorang doktor yang mengalami masalah kesihatan dinasihati berehat di Ismailia dengan ditemani seorang lagi doktor.

Pasukan sukarelawa­n ini turut disertai Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al-Agha dan ketua misi Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Abdul Azeez berkata tempoh sukarelawa­n Malaysia berada di Gaza bergantung kepada perkembang­an gencatan senjata antara pihak Hamas dan Israel. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia