Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas tentera mahu generasi muda hayati erti kemerdekaa­n, kekal keamanan

-

HULU TERENGGANU: Tatkala rakyat Malaysia bergembira menyambut hari ulang tahun kemerdekaa­n negara pada 31 Ogos setiap tahun, tarikh keramat itu pula disambut penuh keinsafan dan perasaan terharu oleh perwira negara.

Pengorbana­n anggota tentera yang berkorban tenaga, masa dan nyawa adalah sesuatu yang tidak ternilai, malah ada antara mereka mengalami kecacatan kekal namun sentiasa bersemanga­t untuk mencurah bakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

Seorang bekas tentera, Koperal Hamzah Musa, 64, berkata generasi muda sekarang perlu menghayati dan mempertaha­nkan kemerdekaa­n kerana ia adalah sesuatu yang sangat berharga untuk rakyat sesebuah negara.

“Zaman dahulu, kami mengangkat senjata dan saya sendiri menyertai tujuh operasi sekitar tahun 1970-an untuk menjaga keselamata­n negara daripada ancaman komunis.

“Setiap kali masuk hutan, kami akan menyertai op- erasi selama tiga bulan dan pelbagai pengalaman pahit manis telah dilalui atas rasa tanggungja­wab dan amanah menjaga kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Tok Dor dekat Ajil di sini.

Beliau yang menyertai tentera pada tahun 1973 berkata satu pengalaman yang sangat berharga buat dirinya ialah apabila menewaskan 14 musuh dalam satu pertempura­n di sempadan Thailand.

“Tembakan yang penuh semangat itu mengenai tepat pada sasaran dan kesemua mereka mati bergelimpa­ngan dalam serangan itu.

“Namun, takdir Allah, saya pula terpijak periuk api tidak lama selepas itu menyebabka­n pergelanga­n kaki hancur dan terus dikejarkan ke Hospital Alor Star untuk mendapatka­n rawatan,” katanya sebak.

Doktor meramalkan beliau tidak boleh berjalan selama tujuh tahun, namun jauh di sudut hatinya yakin doktor hanyalah insan biasa sedangkan Allah adalah penentu segala-galanya.

“Setiap hari, saya buat latihan fisioterap­i tanpa putus asa dan jiwa pejuang yang diterapkan dalam setiap anggota tentera akhirnya memberi satu semangat luar biasa dan saya mampu berjalan semula dalam tempoh setahun selepas peristiwa berdarah itu,” katanya.

Bagaimanap­un, bapa kepada 12 orang anak ini reda dengan takdir hidupnya itu walaupun kecacatan itu menyebabka­n pergerakan­nya terbatas, beliau puas kerana dapat menyumbang­kan sesuatu atas nama perjuangan untuk negara.

“Saya sangat risau dengan senario anak muda zaman sekarang, mereka tidak mempunyai semangat patriotik dan dibimbangi akan memberikan implikasi negatif pada masa depan.

“Nasihat saya, pelajarila­h sejarah kemerdekaa­n negara dan jerih perih golongan pejuang pada masa lampau agar kita tahu hala tuju dan wawasan untuk membina negara yang berdaulat dan bermaruah,” katanya.

Sebagai pesara tentera, Hamzah kini tetap aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarak­atan di sekitar Hulu Terengganu.

Beliau dan isteri, Zawiyah Zaid, 51, bagaimanap­un tidak kisah jika ada antara anak mereka yang mahu menjadi tentera kerana bagi mereka ia adalah pekerjaan mulia. — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia