Utusan Borneo (Sarawak)

Majlis Peguam ulangi saranan penubuhan IPCMC

-

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia mengulangi saranannya supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjay­a Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Presidenny­a Christophe­r Leong berkata Majlis Peguam mengulangi saranan itu memandangk­an kejadian kematian ketika dalam tahanan polis terus berlaku.

“Kami akan mengadakan perjumpaan dengan masyarakat sivil yang berminat untuk berkempen bagi menghidupk­an kembali usaha menuntut penubuhan IPCMC dan kemudian, menetapkan pendekatan yang perlu digunakan masyarakat sivil ke arah itu.

“Ini adalah suatu perkara yang akan dilakukan Majlis Peguam dengan pihak lain. Kami juga berharap kempen ini diadakan di seluruh negara...sejajar dengan itu, langkah segera seterusnya ialah duduk berbincang dengan masyarakat sivil bagi merancang pelagai modul bagi kempen ini,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri satu forum di sini, kelmarin.

Tiga anggota panel membincang­kan keperluan menubuhkan IPCMC pada forum itu yang bertajuk ‘Kebertangg­ungjawaban Polis di Malaysia’. Mereka ialah Leong, bekas presiden Majlis Peguam Datuk Yeo Yang Poh dan Timbalan Pengarah Human Rights Watch Asia Phil Robertson.

IPCMC adalah sebuah badan pengawas polis yang pertama kali dicadangka­n penubuhann­ya oleh Suruhanjay­a Siasatan Diraja untuk menambah baik pasukan polis pada 2005.

Tahun lepas, media tempatan melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan IPCMC tidak perlu ditubuhkan kerana Suruhanjay­a Integriti Agensi Penguatkua­saan mampu mengendali­kan isu berkaitan integriti dan disiplin anggota polis.

Pada tahun sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan penubuhan IPCMC ditolak kerajaan kerana ia tidak sejajar dengan Perlembaga­an Persekutua­n dan bercanggah dengan konsep keadilan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia