Utusan Borneo (Sarawak)

Jeritan dedah puluhan diseludup dalam kontena

-

TILBURY: Seorang lelaki ditemui mati dan 34 orang lagi nyaris lemas di dalam sebuah kontena perkapalan kelmarin selepas kakitangan di sebuah pelabuhan British mendengar bunyi hentakan dan jeritan.

Puluhan lelaki, wanita dan kanak-kanak, semuanya dipercayai berasal dari subbenua India, ditemui di dalam kontena di Dermaga Tilbury timur London, di atas sebuah kapal yang datang dari pelabuhan Zeebrugge di Belgium.

Kesemua mangsa terselamat telah dikejarkan ke beberapa hospital berhampira­n, dua dalam keadaan serius, sementara yang lain mengalami kesan dehidrasi dan hipotermia.

Daripada 64 kontena di atas kapal P and O yang tiba awal kelmarin, pihak polis telah membuka 30 buah setakat ini bagi memeriksa sama ada terdapat mangsa lain.

“Kakitangan di sini di pelabuhan dikejutkan bunyi jeritan dan hentakan yang muncul dari sebuah kontena,” pesuruhjay­a polis Trevor Roe memberitah­u wartawan.

“Hasil bunyi bising tersebut, kakitangan telah dimaklumka­n dan segera membuka kontena tersebut dan menemui 35 orang di dalamnya,” tambah Roe lantas mendedahka­n mangsa terselamat sedang beransur pulih di hospital berhampira­n.

P and O Ferries menyatakan kontena tiba di pelabuhan di Zeebrugge kira-kira sejam sebelum ia dipunggah naik ke atas feri.

Dua jam kemudian, kapal itu memulakan perjalanan selama lapan jam.

Kesemua mangsa ditemui ketika kapal tiba di Tilbury.

Natalie Hardy dari firma tersebut menyatakan feri komersial itu telah membawa 64 kontena, 72 treler dan lima trak dan pemandu.

Lelaki yang meninggal dunia disahkan mati di tempat kejadian oleh anggota perubatan di Tilbury.

“Ini adalah siasatan homisid bagi polis,” kata Roe, walaupun tiada cadangan sesiapa di dalam kontena sebagai suspek.

Beliau menambah: “Ini adalah satu isu kemanusiaa­n dan kebajikan pesakit ini adalah satu keutamaan.”

Pihak berkuasa berdepan masalah bahasa dalam usaha berkomunik­asi dengan mangsa terselamat.

Roe menyatakan sebaik sahaja mangsa terselamat sihat semula, mereka akan ditemu bual secara rasmi melalui bantuan jurubahasa.

Stephen Metcalfe, anggota parlimen tempatan, menyifatka­n insiden itu tragik.

BBC memetik Pasukan Tentera Sempadan UK sebagai berkata, pada 201213, lebih 11,000 cubaan untuk menyeberan­gi Selat Inggeris secara haram telah dihalang.

Pada 2000, 58 pendatang haram dari China sesak nafas lalu mati selepas saluran udara ke dalam kontena mereka yang bertutup dalam sebuah trak ditutup dalam perjalanan ke selatan pelabuhan Inggeris Dover.

Julai tahun lepas, polis British menahan dua orang selepas 15 pemohon suaka ditemui bersembuny­i dalam lori tangki di atas feri di Dover.

Awal bulan ini, 16 lelaki, kesemuanya dari Habsyah, ditemui di dalam unit penyejuk beku sebuah trak di luar London.

Pada Jun, lapan pendatang haram, kesemuanya dari Afghanista­n, telah diselamatk­an dari Selat Inggeris ketika bot kecil mereka mengalami masalah enjin. — AFP

 ?? — Gambar AFP ?? PENYELUDUP­AN MANUSIA: Anggota polis berkawal di pintu masuk ke Dermaga Tilbury, timur London kelmarin.
— Gambar AFP PENYELUDUP­AN MANUSIA: Anggota polis berkawal di pintu masuk ke Dermaga Tilbury, timur London kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia