Utusan Borneo (Sarawak)

Dadah: Tiga wanita diberkas polis

-

MIRI: Tiga wanita antara lima yang diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kiambang, Tudan Fasa 3 di sini petang kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgu­naan dadah.

Sebaik tangkapan, semua suspek berusia 21 hingga 45 tahun dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut berhubung kes tersebut.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri diketuai Sub- Inspektor Bakar Drahman menyerbu sebuah rumah di Jalan Kiambang, Tudan Fasa 3 di sini.

Dalam serbuan sekitar jam 2.30 petang, Ahad lalu polis menahan dua wanita di dalam sebuah bilik tidur kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgu­naan dadah.

Polis yang melakukan pemeriksaa­n lanjut ke atas mereka menjumpai dan merampas dua peket plastik kecil lut sinar mengandung­i ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu seberat 0.68 gram ( berat kasar) dan lima biji pil dipercayai dadah Eramine 5.

Manakala hasil ujian saringan air kencing mereka turut menunjukka­n kesan positif dadah jenis methamphet­amine dan amphetamin­e.

Dalam serbuan sama, polis turut menahan dua lelaki dan seorang wanita di ruang tamu rumah sama kerana disyaki terbabit sama dalam kegiatan penyalahgu­naan dadah.

Hasil ujian saringan air kencing mereka turut menunjukka­n kesan positif dadah jenis sama.

Berikutan itu, kelima-lima suspek ditangkap untuk disoal siasat lanjut berhubung kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahka­n tangkapan dan rampasan dadah tersebut.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 ( 2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana menggunaka­n dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia