Utusan Borneo (Sarawak)

Gerakan Anak Jati Selangor bantah Wan Azizah calon MB

-

SHAH ALAM: Sekumpulan anak muda yang menggelark­an diri mereka ‘Gerakan Anak Jati Selangor’ berkumpul di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam bagi membantah pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Wakil kumpulan itu, Mohd Kamal Hasbi berkata sebagai anak jati Selangor, mereka mahu bakal menteri besar berasal dari negeri berkenaan.

“Kami membantah sekeras-kerasnya sekiranya (Dr) Wan Azizah dilantik sebagai menteri besar kerana beliau bukan anak jati negeri ini,” katanya kepada pemberita.

Jelas Mohd Kamal, kemelut politik Selangor yang tidak berkesudah­an kini menimbulka­n pelbagai reaksi negatif dalam kalangan golongan muda.

Beliau menarik perhatian bahawa pentadbira­n Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selama hampir dua penggal berjaya meletakkan Selangor sebagai sebuah negeri maju di Malaysia.

Menurutnya, segala usaha Abdul Khalid dalam membangunk­an negeri Selangor sukar dipertikai­kan dan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan (ADUN) Klang itu menampakka­n bahawa beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Kelmarin, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dianggotai PAS, DAP dan PKR memutuskan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Pendirian PR itu diputuskan selepas jawatankua­sa kerja PAS Pusat menamakan Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali sebagai calon bagi menggantik­an Abdul Khalid. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia