Utusan Borneo (Sarawak)

MB Selangor dititah tunggu Sultan pulang ke tanah air

-

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dititahkan menunggu sehingga Sultan Selangor Sultan Sharafuddi­n Idris Shah berangkat pulang ke tanah air untuk menghadap baginda.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata pihaknya telah menerima permohonan Abdul Khalid untuk menghadap baginda di luar negara bagi menjelaska­n situasi dan perkembang­an semasa politik di negeri itu serta kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

“Permohonan beliau telah saya sembah maklum kepada Tuanku. Bagaimanap­un, baginda telah menitahkan supaya Abdul Khalid menunggu sehingga baginda berangkat balik ke tanah air dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tindakan Abdul Khalid itu dilihat susulan beliau kehilangan sokongan ma- joriti di Dewan Undangan Negeri Selangor selepas PAS kelmarin menggugurk­an sokongan terhadapny­a untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar.

Juga kelmarin, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ( PR) yang disertai PAS, PKR dan DAP memutuskan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal bagi jawatan menteri besar yang baharu bagi menggantik­an Abdul Khalid.

Abdul Khalid dalam reaksinya selepas itu berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan terbaharu PAS dan memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor berhubung perkembang­an terbaharu politik Selangor.

Menteri Besar itu juga dilaporkan berkata sehingga sultan membuat keputusan muktamad, beliau akan meneruskan pentadbira­n kerajaan negeri bersama empat anggota exco daripada PAS. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia