Utusan Borneo (Sarawak)

Jabatan Taman Laut Malaysia kutip RM2.5 juta tahun lepas

-

JABATAN Taman Laut Malaysia mengutip purata RM2.5 juta tahun lepas hasil bayaran masuk kira-kira 500,000 pelancong ke 42 taman laut di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Kamaruddin Ibrahim.

Beliau berkata daripada jumlah itu, dua pulau di Terengganu iaitu Pulau Redang dan Pulau Perhentian mencatatka­n kutipan tertinggi iaitu RM1.175 juta menerusi kehadiran 235,000 pelancong.

Pada tahun ini, disasarkan jumlah kutipan meningkat lima hingga 10 peratus sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Program ‘Beach and Underwater Clean Up’ Pulau Perhentian 2014 di Besut, baru-baru ini.

Beliau berkata hasil kutipan tersebut digunakan oleh pihak jabatan tersebut untuk membantu menampung perbelanja­an pengurusan kesemua taman laut di seluruh negara.

“Hasil kutipan yang kita peroleh ini tak cukup untuk pengurusan sebenarnya sebab kita membelanja­kan lebih RM10 juta setahun tetapi sekurang-kurangnya ia dapat menampung sebahagian pengurusan taman laut seperti membaiki bot, keperluan minyak serta prasarana di taman laut,” katanya

Kamaruddin berkata Jabatan Taman Laut Malaysia bekerjasam­a dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam memastikan keselamata­n pelancong yang berkunjung ke taman laut.

“Kita sangat berterima kasih kepada JPAM dalam hal ini...sekarang sudah ada tiga menara tinjau JPAM iaitu di Pulau Payar, Langkawi, Pulau Redang, Terengganu serta Pulau Tioman, Pahang dan Insya-Allah menara kawalan JPAM akan dibina di Pulau Perhentian September ini,” katanya.

Seramai 120 peserta daripada Jabatan Taman Laut, JPAM, pengusaha resort dan selam skuba, badan bukan kerajaan (NGO) menyertai program selama tiga hari bermula 15 Ogos.

Program anjuran Jabatan Taman Laut Daerah Besut itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya menjaga terumbu karang. — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia