Utusan Borneo (Sarawak)

Guru perlu tingkatkan kreativiti, inovasi: Ramlee

-

SEMPORNA: Golongan pendidik di negeri ini diseru agar terus meningkatk­an keupayaan kreativiti serta inovasi sebagai persediaan menghadapi cabaran mendidik yang semakin besar.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ramlee Marhaban berkata, keupayaan para guru menguasai bidang berkenaan akan membantu memudahkan tugas untuk mendidik anak bangsa.

Menurutnya, bersesuaia­n dengan tema Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi, golongan pendidik perlu sentiasa peka dan bersedia untuk berusaha menambah ilmu-ilmu baharu yang begitu penting.

“Penambahan baharu itu seterusnya membawa kepada perubahan malah mampu menjadikan seseorang guru lebih kreatif dan inovatif selain mendorong penjanaan idea dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru dan Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang Peringkat Daerah Semporna 2014 di Dewan SMK Abdullah II, di sini kelmarin. Kira-kira 2,000 orang menghadiri sambutan Hari Guru berkenaan.

Ramlee yang juga ADUN Bugaya berkata, untuk menghadapi persaingan global yang semakin sengit, sistem pendidikan memainkan peranan penting malah kejayaan sesebuah negara amat bergantung kepadanya.

Jelasnya, golongan guru perlu komited, ikhlas dan berdedikas­i dalam menjalanka­n peranan sebagai penggerak ke arah perpaduan nasional yang dapat menjamin kemajuan serta kemakmuran negara.

Katanya, perpaduan perlu diperkukuh bukan sahaja membabitka­n perbezaan etnik tetapi juga sesama bangsa.

Menurutnya, pendekatan teras yang perlu diambil adalah sentiasa menjaga imej guru dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi model kepada masyarakat.

“Tugas sebagai seorang guru adalah pemangkin pembanguna­n negara kerana di tangan mereka dapat membentuk generasi hebat yang dapat memacu kejayaan negara menjelang 2020,” tambahnya.

Dalam majlis itu, Ramlee menyampaik­an anugerah Tokoh Hari Guru kepada Ispal Bakal dan Abdul Malik Abd Rahman serta Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang kepada seramai 184 penerima.

Turut hadir isteri Ramlee, Sarimah Busuran, Pegawai Pendidikan Daerah Semporna Raduan Abd Rahman, Timbalan I Pegawai Pendidikan Daerah Semporna Pairing Intang, Timbalan II Pegawai Pendidikan Daerah Semporna Arbaa Tampung, Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bullah, PPM Bugaya Abd Suhud Jaani dan para penerima anugerah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia