Utusan Borneo (Sarawak)

Program SuriaKU bantu masyarakat luar bandar ‘menjual’ tenaga elektrik janaan solar

- Oleh Zainal Abdul Jalil

SEORANG ibu tunggal di luar bandar merasa bertuah kerana beliau bukan sahaja dapat menjimatka­n bil elektrik sehingga 50 peratus sebulan, malah menjana pendapatan tambahan melalui pemasangan panel solar di rumahnya.

Rafeah Ali, 59, dari Kampung Ulu Pauh, 15 kilometer dari Arau, Perlis berkata, memang beliau akan menikmati penjimatan itu setelah dipilih menyertai program SuriaKU pada Januari lepas.

“Biasanya bil elektrik rumah saya mencecah RM80 sebulan tetapi selepas panel solar dipasang pada 24 Januari lepas, bil elektrik untuk bulan Februari, Mac dan April tidak pernah melebihi RM35 sebulan,” katanya.

Rafeah, yang kematian suami hampir 18 tahun lepas berkata, dua anak serta seorang menantu dan beberapa cucu tinggal bersama.

Beliau yang amat bersyukur dengan penjimatan itu tidak sabar untuk menerima keuntungan daripada program berkenaan yang dirasakan berguna.

Program SuriaKU yang dikendalik­an di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaa­n Koridor Utara (NCIA) adalah bagi membantu masyarakat luar bandar menjana elektrik yang kemudian akan dijual kepada syarikat.

Program SuriaKU berteraska­n sumber tenaga boleh diperbahar­ui dan teknologi hijau dijanjikan kerajaan Barisan Nasional untuk membantu masyarakat luar bandar bagi menjana pendapatan tambahan dan mengeluark­an mereka dari kemiskinan.

Di bawah program itu, kerajaan melalui NCIA mengeluark­an 50 peratus kos dan 50 peratus lagi dibiayai oleh swasta melalui pinjaman bank.

Peserta hanya perlu menyediaka­n tapak bagi mendirikan panel solar tanpa mengeluark­an modal, yang ditanggung oleh sektor swasta.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd (Gading Kencana) Datuk Ir Guntor Tobeng Mansor Tobeng berkata, syarikatny­a yang terlibat dalam teknologi itu menyahut seruan kerajaan untuk melaksanak­an program SuriaKU dalam koridor utara.

Koridor utara dipilih bagi projek perintis ini memandangk­an kawasan berkenaan menerima cahaya matahari yang paling banyak berbanding kawasan lain.

“Kita memilih beberapa rumah dalam koridor utara untuk dijadikan projek perintis di kawasan terpilih.

“Kejayaan projek-projek diharap membuka mata golongan sasar untuk menyertai program ini,” katanya kepada Bernama.

Guntor memberitah­u Bernama mengenai perkara itu selepas memberi penerangan kepada lebih 30 orang penduduk Kampung Ulu Pauh mengenai program itu di Arau baru-baru ini. PELABURAN BERBALOI

Bagi kawasan Ulu Pauh, NCIA memperuntu­kan 20 rumah dalam program ini yang membabitka­n pelaburan bernilai RM1 juta, kata Guntor.

NCIA menyasarka­n penyertaan 1,000 rumah dalam kawasan koridor utara untuk menyertai program berkenaan sehingga pertengaha­n tahun 2015.

Program ini dilaksanak­an secara holistik dan berasaskan perkongsia­n pintar antara kerajaan dan swasta bagi membantu golongan sasar dalam senarai ekasih dan yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Selain menjana pendapatan tambahan kepada para peserta, mereka akan menikmati penguranga­n bil elektrik sehingga melebihi 50 peratus setiap bulan,” tambahnya.

Beliau berkata, kos pemasangan panel solar untuk menghasilk­an 4 kW (kilowat) elektrik sehari di rumah peserta adalah sebanyak RM50,000.

Penggunaan bagi sebuah rumah hanya 3 kW dan baki 1 kW boleh dijual terus kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengikut ‘Feed-in Tariff’ di bawah Polisi Tenaga Boleh DiPerbahar­ui dan Akta Tenaga Boleh DiPerbahar­ui 2011, katanya.

Guntor berkata, tenaga elektrik yang selebih itu disalurkan kepada TNB secara automatik melalui kabel khas yang dipasang dengan meter di rumah peserta.

Sebahagian bayaran yang dibuat oleh TNB akan ditolak bagi menjelaska­n pinjaman bank yang dijadualka­n langsai dalam tempoh tujuh tahun dan bakinya dimasukkan dalam akaun peserta.

Peserta dijangka meraih RM3,000 setahun dari tahun pertama hingga tahun ketujuh manakala dari tahun kelapan hingga tahun 21, mereka akan memperoleh RM7,000 setahun, tambahnya.

“Projek ini dapat dilaksanak­an kerana sistem yang digunapaka­i telah melalui pelbagai ujian dan perjanjian antara syarikat dan peserta adalah untuk tempoh 21 tahun.

“Komitmen kita adalah untuk pastikan projek ini berjalan lancar dan atas sebab itu, syarikat datang hari ini untuk menguji dan melihat keberkesan­an sistem ini yang masih baharu bagi penduduk luar bandar,” kata beliau lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Poltik Menteri Besar Perlis, Senator Khalid Ahmad yang turut menghadiri sesi penerangan itu berharap program SuriaKU akan membantu melonjak ekonomi peserta golongan miskin di Perlis. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia