Utusan Borneo (Sarawak)

Jurulatih hoki Belanda diberkas rakam gambar gadis di dalam bilik persalinan

-

THE HAGUE: Polis Belanda telah menangkap seorang jurulatih disyaki merakamkan secara rahsia beratus- ratus orang wanita dan gadis di dalam sebuah bilik persalinan di sebuah kelab hoki berprestij di mana tiga orang puteri menjadi ahli kelabnya, menurut pihak pendakwa raya kelmarin.

“Seorang lelaki berusia 45 tahun telah ditangkap kerana disyaki memiliki gambar pornografi kanak- kanak dan merakamkan secara rahsia wanita dan budak perempuan di dalam bilik persalinan kelab tersebut,” menurut pejabat pendakwa raya umum dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa puteri tersebut tidak dirakamkan.

Tuduhan bagi pornografi kanak- kanak adalah tidak berkaitan dengan kelab hoki tersebut, menurut pendakwa raya.

Rakaman rahsia bilik persalinan telah dilakukan di sebuah kelab HGC terkenal di Wassenaar, sebuah subbandar mewah di utara The Hague, di mana tiga orang puteri kepada Raja Belanda Willem-Alexander dan Ratu Maxima turut bermain hoki.

Rakaman tersebut telah dilakukan di antara tahun 2006-11 dan “puteri tersebut tidak terdapat dalam imej berkenaan,” Ilse de Heer, jurucakap bagi pejabat pendakwa raya, memberitah­u AFP.

Pihak pendakwa raya umum menyatakan bahawa budak perempuan paling muda dalam gambar adalah berusia 12 tahun.

Puteri Mahkota Amalia sekarang berusia 10 tahun.

“Semasa satu siasatan mengenai pornografi kanakkanak, pihak polis telah menemui DVD yang mengandung­i imej wanita dan budak perempuan yang dirakamkan secara rahsia di kelab ketika mereka menukar pakaian,” menurut kenyataan.

“Imej tersebut telah dirakamkan oleh sebuah kamera tetap,” jurucakap pendakwaan De Heer berkata.

Suspek telah dikenal pasti kerana wajahnya dirakamkan ketika dia memeriksa kamera tersebut.

“Ini bukannya hanya gadis dan wanita dari HGC, namun juga anggota daripada 34 buah kelab pelawat,” menurut De Heer, sambil menambah bahawa imej adalah “kebanyakan­nya wanita berusia 16 tahun ke atas.”

Lelaki itu telah ditangkap pada 26 Ogos dan ditahan reman bagi tempoh 30 hari lagi kelmarin.

“Kelab hoki telah dimaklumka­n mengenai siasatan itu,” tambah kenyataan tersebut.

Kelab itu akan mengadakan satu mesyuarat bagi anggotanya pada Selasa depan, lapor media Belanda. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia