Utusan Borneo (Sarawak)

Tukang masak parah diserang enam lelaki

-

KUCHING: Seorang tukang masak yang turut bekerja separuh masa menjaga gerai burger cedera parah di kepala dan badan selepas diserang enam lelaki yang dipercayai didalangi abang iparnya sendiri di Satok, malam kelmarin.

Insiden dikatakan berlaku pada kira- kira jam 10.30 malam, apabila lelaki berusia 32 tahun itu didatangi lapan lelaki bersenjata­kan besi dan rotan sejurus selepas isterinya menurunkan­nya di rumah bapanya di Satok.

Menurut isteri mangsa, dia sebelum itu mengambil suaminya di Green Road, tempat dia membantu rakannya menjaga gerai burger, apabila dia mendapati lapan lelaki memerhatik­an mereka dari jarak dekat.

“Saya kenal enam daripada mereka. Salah seorang ialah abang ipar suami saya yang turut ditemani tiga adik beradiknya manakala dua lagi adalah pelajar sekolah menengah yang dikenali menerusi seorang rakan,” katanya kepada pemberita, kelmarin.

Katanya, suaminya turut menyedari kehadiran kumpulan itu tetapi menyuruhny­a mengabaika­n mereka dan menghantar­nya terus ke rumah bapanya.

Selepas dia menurunkan suaminya, kumpulan itu yang dikatakan mengekori mereka, mula membelasah­nya menggunaka­n rotan dan besi sehingga dia pengsan.

Si isteri yang masih terkejut dengan insiden itu, kemudian menjerit meminta tolong dan kumpulan itu kemudian memecut lari dari lokasi.

Dia kemudian membawa suaminya ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.

Difahamkan, lelaki itu kemudian dimasukkan ke Zon Merah selepas keadaannya semakin teruk.

Laporan polis telah dibuat untuk tindakan lanjut.

Dalam kes berasingan, seorang wanita warganegar­a China bernasib baik apabila masih terselamat apabila terjatuh dari tingkat tiga sebuah pangsapuri di Jalan Lapangan Terbang di sini, semalam.

Insiden sekitar 8 pagi itu hanya disedari rakannya selepas terdengar jeritan mangsa, dan mendapati mangsa terbaring di atas tanah.

Punca wanita itu terjatuh dari tingkap bangunan tersebut bagaimanap­un, belum dapat dipastikan.

Dia yang mengalami kecederaan di tulang belakang serta tangan dimasukkan ke Zon Merah Hospital Umum Sarawak sebelum dirujuk ke hospital swasta di Jalan Tun Jugah, di sini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia