IPGKTAR, Yayasan Sarawak anjur Program ‘Outreach’ Sains

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KOTA SAMARAHAN: Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) dengan kerjasama Yayasan Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Saratok mengadakan Program ‘Outreach’ Sains Sekolah Luar Bandar di Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Temenggong Tanduk, baru-baru ini.

SK Orang Kaya Temenggong Tanduk merupakan salah sebuah sekolah luar bandar yang terletak di Saratok.

Pada tahun ini, sekolah itu dipilih sebagai tuan rumah untuk destinasi kedua Program ‘Outreach’ Sains Sekolah Luar Bandar Jabatan Sains IPGKTAR.

Pada tahun lepas, program itu diadakan di Sekolah Kebangsaan ( SK) Rebak, Asajaya yang mana kumpulan sasarannya ialah murid-murid Tahun 5 dan Tahun 6.

Program itu diadakan untuk meningkatkan prestasi subjek Sains dalam UPSR, selain memupuk kerjasama dengan agensi dan pihak luar serta menyemai minat dan kemahiran guru pelatih melalui aktiviti pembelajaran yang lebih interaktif.

Pada masa sama, ia membuka ruang untuk penyelidikan pendidikan Sains.

Yayasan Sarawak turut terlibat dengan program yang sama pada tahun lepas dan memberikan peruntukan kewangan untuk program itu.

Sebanyak 12 sekolah rendah terlibat dalam program kali ini iaitu SK Orang Kaya Temenggong Tanduk, SK Praja, SK Ng Abu, SK Ulu Budu, SK Sg Entebu, SK Temudok Awik, SK Sungai Antu, SK Supok, SK Kabo Hilir, SK Mendas, SK Babang, dan SK Ng Budu.

Turut serta seramai 17 guru pelatih Semester 8 IPGKTAR daripada pengkhususan Sains.

Pelbagai aktiviti dijalankan, antaranya aktiviti interaktif Sains, aktiviti ‘hands-on’ kemahiran proses Sains, aktiviti ‘hands-on’ konsep Sains, ‘Magical Science,’ bengkel UPSR, dan ceramah motivasi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.