Utusan Borneo (Sarawak)

Geng curi Toyota Hilux diberkas di Kuala Lumpur

-

MELAKA: Empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes menyamun dan mencuri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di beberapa negeri termasuk Melaka akhirnya diberkas di Kuala Lumpur.

Mereka yang berusia antara 21 hingga 35 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Cheras menerusi Ops Hilux di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki di Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur, diikuti tiga lagi anggota kumpulan itu di Flat Sri Johor.

“Kumpulan ini terlibat dalam lima kes samun dan mencuri Toyota Hilux di Melaka sejak Februari lepas dengan anggaran kerugian kira-kira RM500,000.

“Mereka juga aktif di Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Raja Shahrom berkata kes samun terbaharu melibatkan seorang pemilik berusia 34 tahun di sebuah stesen minyak di Alor Gajah pada 19 Ogos lepas.

Beliau berkata mangsa yang sedang mengisi minyak kenderaann­ya didatangi dua lelaki bersenjata­kan parang sebelum bertindak melarikan kenderaan itu selain rantai emas, telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa.

Keempat- empat suspek terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 3 Sept lepas bagi membantu siasatan kerana melakukan samun berkumpula­n dan bersenjata. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia