Utusan Borneo (Sarawak)

Malaysia, Australia akan sumbang AUD60 juta kesan pesawat MH370

-

PUTRAJAYA: Malaysia dan Australia menyatakan komitmen untuk masing-masing menyumbang AUD60 juta (RM180 juta) dalam usaha untuk mengesan lokasi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dipercayai “berakhir” di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada fasa baharu pencarian di dasar laut bagi pesawat itu di kawasan terpencil lautan itu.

“Ia akan menggunaka­n teknologi paling canggih yang ada,” katanya dalam sidang media bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat perdana menteri Malaysia itu di sini semalam.

Abbott sedang mengadakan lawatan rasmi sehari di Malaysia pada Sabtu untuk membincang­kan isu dua hala termasuk isu kehilangan pesawat MAS Penerbanga­n MH370 dan Penerbanga­n MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai dan kerjasama perdaganga­n.

Penerbanga­n MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbanga­n dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi, berhampira­n Perth, tempat pesawat itu dipercayai berakhir. Usaha untuk mencari pesawat itu masih berterusan.

Abbott berkata Australia berhasrat untuk membina memorial atau tugu peringatan di kawasan pantai barat Australia sebagai tanda penghormat­an terhadap penumpang dan anak kapal MH370.

“Tetapi ia perlu mendapat persetujua­n kerajaan Malaysia dan keluarga (penumpang dan anak kapal),” katanya.

Sementara itu, Najib berkata pada mesyuarat itu, beliau dan Abbott mengulangi komitmen dan sokongan tidak berbelahba­hagi untuk meneruskan misi pencarian pesawat itu.

Beliau berkata mereka berdua juga sedar dan mempunyai tanggungja­wab terhadap ke- luarga penumpang dan anak kapal MH370 untuk mencari jawapannya.

Najib juga merakamkan penghargaa­n, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap peranan kerajaan Australia yang menerajui misi itu, termasuk sokongan dan sumber yang dihulurkan dalam misi pencarian pesawat MH370 yang amat rumit dan mencabar.

“Dalam soal ini, kami mengambil perhatian pemeteraia­n MoU (memorandum persefaham­an) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia, berkaitan MH370, yang menyediaka­n rangka kerja dan ruang lingkup lebih luas bagi kerjasama dalam misi pencarian MH370,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia