Utusan Borneo (Sarawak)

‘GREAT 2014’ mampu lahirkan lebih ramai usahawan muda

-

CYBERJAYA: Gabungan Rakan Usahawan Aspirasi Terhebat atau GREAT 2014 yang akan diadakan selama empat hari mulai 17 September di Pusat Inovasi dan Kreatif Malaysia Global (MaGIC), Cyberjaya mampu melahirkan lebih ramai usahawan muda di negara ini.

Ketua Setiausaha Perbendaha­raan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata program yang julung kali diadakan itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya lebih 5,000 usahawan muda dari seluruh negara dijangka menghadiri program itu yang bertujuan meningkatk­an usahawan di negara ini ke tahap lebih tinggi.

“GREAT akan mengumpulk­an pakar-pakar dan penggerak pelbagai industri seperti pemakanan, pertanian, teknologi, gaya hidup, seni kreatif dan keusahawan­an wanita daripada kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Ia merupakan landasan bagi usahawan yang bercita-cita untuk berinterak­si dengan mereka yang berjaya, pelabur dan badan-badan yang menawarkan dana. Antara aspek yang kita tekankan ialah perniagaan dalam talian yang ketika ini sedang berkembang pesat,” katanya pada sidang media selepas majlis pra pelancaran GREAT 2014 di sini kelmarin.

Dr Mohd Irwan berkata GREAT merupakan inisiatif kerajaan dan swasta yang akan menjadi platform terbaik untuk mendidik, menggalakk­an dan memberi bimbingan kepada usahawan dalam aspek keusahawan­an, inovasi dan pelaburan.

Katanya program itu turut mewujudkan landasan kepada usahawan untuk membina rangkaian perniagaan.

Beliau berkata pelbagai ceramah dan bengkel akan diadakan sepanjang acara itu yang akan memberi manfaat kepada para peserta dan pengunjung.

“Peserta juga berpeluang untuk berkongsi pengalaman daripada usahawan berjaya, selain mentor untuk usahawan wanita, klinik perniagaan khusus dan bengkel perniagaan runcit dalam talian,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia