Utusan Borneo (Sarawak)

PAWE ditubuh di setiap kawasan Parlimen menjelang 2018: Rohani

-

MIRI: Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhasrat menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap kawasan Parlimen menjelang 2018.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah KPWKM mewujudkan sebanyak 45 PAWE di seluruh negara termasuk tujuh di Sarawak iaitu Kuching, Sibu, Beladin, Tatau, Dalat, Lingga dan Miri.

“Kami menyasarka­n sebanyak 222 PAWE atau lebih menjelang 2018.

“Sejak PAWE ditubuhkan pada 2007, ia memberi manfaat kepada 132,942 warga emas di seluruh negara manakala PAWE Miri memberi manfaat kepada 83,039 warga emas.

“Pengwujuda­n PAWE memberi peluang kepada warga emas menjalanka­n aktiviti dalam komuniti seterusnya dapat tinggal bersama keluarga dalam sesebuah masyarakat,” katanya ketika merasmikan Program PAWE Miri di sini semalam.

Beliau berkata penglibata­n aktiviti PAWE memberi peluang kepada warga emas berinterak­si dan berkomunik­asi sesama mereka sekali gus mengelak warga emas mengalami ‘empty nest’, iaitu perasaan bercampur aduk antara kerisauan, kesedihan dan kekosongan setelah ketiadaan anak-anak di sisi mereka.

Mengikut rekod JKM, pada 2014 jumlah warga emas berdaftar dengan PAWE di seluruh negara ialah seramai 21,489 orang dengan pendaftara­n di PAWE Miri seramai 12,690 orang dan merupakan pendaftara­n tertinggi di Malaysia.

“Dengan adanya Program Muhibah PAWE 2014 hari ini, JKM menyasarka­n pertambaha­n menjelang hujung tahun seramai 40,000 manakala ahli baharu mendaftar di PAWE Miri pada program hari ini sahaja seramai 300 orang,” katanya.

Program Muhibah PAWE 2014 merupakan program julung kali diadakan bertujuan memberi ruang dan peluang kepada warga emas berinterak­si dengan masyarakat dan komuniti setempat dalam suasana mesra dan penuh kasih sayang.

Antara program diadakan ialah pameran berkonsepk­an interaktif, pendaftara­n ahli PAWE, pemeriksaa­n kesihatan, pertanding­an karaoke, sukan, pertanding­an mewarna, fesyen kreatif dan kuiz.

“Warga emas sepatutnya mengambil peluang ini dengan menjadikan PAWE sebagai pusat aktiviti yang dapat mengelak mereka daripada mengalami empty nest apabila mereka dapat berinterak­si dan berkomunik­asi sesama mereka,” katanya.

Hadir sama Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Norani Mohd Hashim dan Temenggung Elizabeth Deng.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia