Utusan Borneo (Sarawak)

SPRM P. Pinang teliti laporan tentang peruntukan PPS

-

GEORGE TOWN: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Pulau Pinang sedang meneliti laporan kemungkina­n berlaku penyalahgu­naan peruntukan kerajaan negeri di sebalik penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk M.Samarajoo berkata pihaknya akan membuka fail siasatan sekiranya terdapat unsur rasuah.

“Setakat ini satu laporan diterima Selasa lepas...kita sedang teliti,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Larian Hapuskan Rasuah anjuran Wanita Gerakan Pulau Pinang yang dilancarka­n Timbalan Presiden GERAKAN Datuk Dr Cheah Soon Hai di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam.

Kelmarin Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP bersedia meletak jawatan jika UMNO negeri dapat membuktika­n kerajaan negeri menyediaka­n peruntukan RM1.5 bilion kepada PPS.

Bagaimanap­un Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO negeri Datuk Zainal Abidin Osman dalam kenyataan kelmarin mengesahka­n berlaku kesilapan penggunaan perkataan ‘ bilion’ dalam laporan UMNO Online bertarikh 4 Sept lepas itu dan ia telah diperbetul­kan kepada RM1.5 juta.

Dalam pada itu Samarajoo berkata SPRM negeri telah membuka 37 kertas siasatan dan merekodkan 13 tangkapan berkaitan pelbagai kes rasuah dari Januari hingga 8 Ogos tahun ini.

Beliau berkata kebanyakan mereka yang terlibat ialah penerima suapan dan terdiri daripada penjawat awam namun tiada pegawai tinggi kerajaan ditahan setakat ini.

Terdahulu, Cheah berkata larian bertema ‘Jangan Beri, Jangan Terima’ itu bertujuan meningkatk­an kesedaran masyarakat tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur untuk bersama-sama berikrar menolak perbuatan rasuah.

“Generasi muda terutamany­a perlu sentiasa diberi peringatan dalam pelbagai medium supaya menjauhi perbuatan menjurus ke arah rasuah walau dengan apa cara atau tujuan sekalipun,” katanya.

Seramai 2,000 peserta terdiri daripada penuntut USM, pelajar sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Polis Diraja Malaysia ( PDRM) menyertai larian sejauh 3.5 kilometer itu. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? ANTIRASUAH: Ketua Wanita Parti GERAKAN Rakyat Malaysia (PGRM) Datuk Tan Lian Hoe membawa obor Larian Anti Rasuah bersama peserta-peserta yang mengambil bahagian di Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, semalam.
— Gambar Bernama ANTIRASUAH: Ketua Wanita Parti GERAKAN Rakyat Malaysia (PGRM) Datuk Tan Lian Hoe membawa obor Larian Anti Rasuah bersama peserta-peserta yang mengambil bahagian di Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia