Utusan Borneo (Sarawak)

Perpaduan prasyarat utama untuk UMNO menawan semula S’gor

-

KUALA LUMPUR: Perpaduan merupakan prasyarat utama untuk UMNO, khususnya di Selangor untuk menawan semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata prasyarat lain adalah memiliki barisan kepimpinan yang diyakini dan dipercayai boleh membawa anggotanya dalam satu saf supaya tidak berbalah, dan bersedia menghadapi apa juga cabaran.

“Peranan dan tanggungja­wab kita khususnya UMNO di Selangor lebih sukar dan mencabar. Tetapi kalau sasaran kita nak tebus maruah dan kekalahan, ini bukan kerja mudah tapi bukan mustahil.

“Boleh kita laksanakan dengan syarat kukuh perpaduan, berani berhadapan dengan mereka. Bincang dengan rakyat jelata. Berinterak­si dengan mereka selalu dan apa-apa isu yang perlu dihadapi, kita hadapi secara bersemuka,” katanya ketika berucap merasmikan persidanga­n perwakilan UMNO Bahagian Subang di Kelab Golf Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Subang Datuk Zein Isma Ismail.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO sekali lagi mengulangi bahawa fikiran politik rakyat kini lebih matang.

Beliau bagaimanap­un menarik perhatian bahawa perubahan dalam kalangan rakyat itu merupakan hasil daripada proses transforma­si dan usaha yang dilakukan kerajaan sejak merdeka.

“Rakyat berubah kerana usaha kita juga. Sebagai kerajaan kita nak lihat masyarakat Malaysia berpengeta­huan, terdidik dengan ilmu, tahu hak sebagai rakyat yang termaktub dalam Perlembaga­an, dan peruntukan-peruntukan yang tersedia untuk mereka,” jelasnya.

Justeru, dalam mendepani perubahan itu, Muhyiddin menegaskan UMNO harus meletakkan parti pada posisi yang membezakan­nya daripada parti-parti politik yang lain untuk menawan hati rakyat.

Muhyiddin dalam pada itu bertanya mereka yang hadir akan kesiapsiag­aan jentera UMNO di Selangor sekiranya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri dan pilihan raya negeri diadakan susulan krisis politik yang berlaku pada masa ini.

“Kalau esok bubar DUN, boleh menang ke?” katanya disahut dengan laungan “ya” oleh para perwakilan yang hadir.

“Ini soal maruah kita. Kita rasa penderitaa­n dan kesusahan. Dalam tempoh kurang daripada empat tahun akan datang, bagaimana kesiapsiag­aan kita untuk menghadapi perubahan dan zaman sukar yang kita hadapi sekarang. Kita tak boleh main-main banyak sangat,” tegas Muhyiddin.

Beliau juga berkata selain berusaha menyelesai­kan masalah rakyat dan isu- isu politik, anggota UMNO juga perlu mengingatk­an akar umbi akan sumbangan kerajaan dalam menghasilk­an perubahan-perubahan positif negara termasuk pertumbuha­n ekonomi. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PELANCARAN: Muhyiddin merangkap Timbalan Presiden UMNO menandatan­gani plak melancarka­n Koperasi Satu Hati Subang Bhd (KAS1H) selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang di Kelab Golf Rahman Putra Sungai Buloh di Kuala Lumpur, semalam....
— Gambar Bernama PELANCARAN: Muhyiddin merangkap Timbalan Presiden UMNO menandatan­gani plak melancarka­n Koperasi Satu Hati Subang Bhd (KAS1H) selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang di Kelab Golf Rahman Putra Sungai Buloh di Kuala Lumpur, semalam....

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia