Utusan Borneo (Sarawak)

Tabung Pendidikan 1 Bilion UiTM kumpul dana RM400,000

-

TABUNG Pendidikan 1 Bilion yang dikelolaka­n Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk membantu pendidikan Bumiputera, berjaya mengumpul dana berjumlah hampir RM400,000, sehingga kini.

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Tabung Pendidikan 1 Bilion Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata berdasarka­n jumlah memberangs­angkan itu, pihaknya optimis sasaran untuk mengumpul dana berjumlah RM1 bilion dapat direalisas­ikan dalam tempoh terdekat.

“Hampir RM400,000 telah berjaya dikumpul dalam tempoh tujuh bulan sejak ia ditubuhkan pada Februari termasuk RM152,000 sumbangan alumni UiTM yang berkhidmat di Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan ‘Tabung Pendidikan 1 Bilion’ Alumni UiTM di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pada majlis itu, Persatuan Alumni UiTM turut memperkena­lkan tali leher dan selendang khas untuk anggotanya.

Tabung berkenaan akan mengumpul dana daripada alumni UiTM untuk memajukan bidang pendidikan keseluruha­n dalam bentuk biasiswa, bantuan kebajikan, menaja program penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D).

Dana itu juga akan diberi kepada pelajar Bumiputera yang memerlukan bantuan pendidikan dan tidak tertumpu kepada pelajar UiTM sahaja.

Sementara itu, Idris yang juga penaung tabung berkenaan ketika berucap pada majlis itu berkata sasaran itu tidak mustahil dicapai jika semua alumni UiTM menyumbang.

“Kita mempunyai lebih 500,000 alumni UiTM yang mampu menyumbang. Jika purata setiap alumni menyumbang RM2,000, saya percaya kita akan mencapai sasaran (RM1 bilion) pada hujung tahun ini,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia